Home » Langit Terbuka » Sultan Selangor titah segerakan pembentukan jawatankuasa berhubung pemulihan kanak-kanak GISBH

Sultan Selangor titah segerakan pembentukan jawatankuasa berhubung pemulihan kanak-kanak GISBH

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Foto fail BERNAMA

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya segera diwujudkan jawatankuasa berhubung pemulihan kanak-kanak diselamatkan dari GISB Holdings (GISBH).

Selangor Royal Office menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan, jawatankuasa berkenaan akan bertanggungjawab bagi penghasilan kertas kerja yang terperinci untuk mengenalpasti kaedah pemulihan terbaik membabitkan lebih 600 kanak-kanak berkenaan.

“Sultan Sharafuddin turut bertitah supaya jawatankuasa itu diwujudkan segera dan tidak dilengah-lengahkan kerana ia membabitkan masa hadapan kanak-kanak yang terbabit.

“Jawatankuasa ini kelak akan melapor terus kepada Sultan Selangor serta bertanggungjawab memulihkan kanak-kanak ini, seterusnya diintegrasikan semula ke dalam masyarakat dalam tempoh yang ditetapkan,” menurut hantaran itu.

Terdahulu, baginda berkenan menerima menghadap Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Senator Datuk Salehuddin Saidin, di Istana Bukit Kayangan di sini.

Semalam, media melaporkan seramai 662 kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal yang terkait GISBH mendapat perintah mahkamah untuk perlindungan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkembangan terbaharu itu dimaklumkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri pada Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Semua 662 kanak-kanak yang diselamatkan melalui beberapa operasi yang telah berjalan kini mendapat perintah mahkamah untuk perlindungan, itu terkini,” katanya.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *