Home » Langit Terbuka » Pengukuhan sistem kehakiman syariah melalui proses sewajarnya, rujuk MKI dan Majlis Raja-raja

Pengukuhan sistem kehakiman syariah melalui proses sewajarnya, rujuk MKI dan Majlis Raja-raja

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa mendokong agenda pengukuhan institusi perundangan dan kehakiman syariah dengan meletakkan ia sebagai salah satu fokus dalam Pelan Transformasi Al-Falah Tahun 2023-2027.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata ketika ini pelbagai usaha sedang digerakkan untuk memperkukuh sistem kehakiman syariah.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedang mengambil langkah untuk memperkukuh sistem perundangan dan kehakiman syariah secara komprehensif meliputi aspek penggubalan, penyemakan dan pindaan undang-undang syariah, penstrukturan Mahkamah Syariah, penyediaan latihan komprehensif bagi meningkatkan kompetensi Hakim dan pegawai di Mahkamah Syariah.

“Pada masa yang sama, hal ehwal berkaitan pendakwaan syariah, penguatkuasaan syariah serta guaman syarie perlu turut diperkukuh terlebih dahulu untuk memperkasa sistem kehakiman syariah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya kesemua usaha yang diambil ini sebelum dilaksanakan akan melalui proses sewajarnya termasuk merujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja.

Sementara itu Mohd Na’im berkata pihaknya menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika wawancara bersama wartawan Mehdi Hasan yang disiarkan di portal rasmi Bernama pada 7 Oktober 2024.

Dalam temu bual itu, perdana menteri dengan tegas menyebut tentang kepentingan memperkukuh perpaduan dan toleransi dalam kemajmukan masyarakat selain memastikan tadbir urus yang baik dalam pentadbiran.

Ketika ditanya tentang undang-undang hudud di Malaysia, perdana menteri telah memberi maklum balas bahawa ia memerlukan konsensus dengan keutamaan sekarang adalah untuk memastikan keamanan dan keselamatan masyarakat.

“Kenyataan perdana menteri dalam isu tersebut adalah tepat dan berasas dengan mengambil kira Fiqh Al-Waqi’ (fiqh realiti) serta Fiqh Al-Awlawiyyat (keutamaan),” katanya. — AlHijrah Online

 

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *