Home » Analitis » Reformasi Sistem Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia

Reformasi Sistem Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan, sokongan masyarakat sangat penting untuk memastikan kejayaan reformasi Undang-Undang Syariah di negara ini. - Kredit Foto FMT

Sistem perundangan syariah di Malaysia telah melalui evolusi sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, yang menggunakan undang-undang syariah dalam pentadbiran. Semasa penjajahan British, undang-undang sivil diperkenalkan tetapi undang-undang Islam terus digunakan dalam hal-hal peribadi.

Selepas kemerdekaan, Mahkamah Syariah  diperkukuh melalui pelbagai institusi seperti Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Pindaan Perlembagaan 1988 menerusi Perkara 121(1A) memberi autonomi kepada Mahkamah Syariah , memisahkannya daripada campur tangan Mahkamah Sivil. Reformasi ini diikuti dengan penubuhan institusi sokongan seperti Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) dan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia (AKSM) untuk meningkatkan kecekapan sistem syariah.

Semasa ucapan perasmian Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia pada 15 Julai 2024 yang lalu, Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menyentuh berkaitan dengan Rang Undang Undang (RUU) RUU Mahkamah Syariah .

Selain komitmen, beliau mengingatkan agar suatu proses libat urus menyeluruh dilaksanakan dengan melibatkan pakar perundangan tempatan dan luar negara bagi memastikan RUU yang akan dibentangkan nanti diterima oleh seluruh rakyat dan menjadi contoh terbaik kepada masyarakat dunia.

Mahkamah Syariah  mempunyai bidang kuasa dalam isu keluarga Islam dan jenayah syariah tertentu seperti qazaf dan zina. Usaha untuk meminda Akta 355 bertujuan meningkatkan had hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah , walaupun terdapat kekeliruan dalam kalangan masyarakat bukan Islam tentang tujuan pindaan tersebut.

Antara salah faham yang sering diperkatakan dalam kalangan masyarakat termasuklah Akta Mahkamah Syariah  (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 terpakai kepada orang bukan Islam, dan pindaanyang dibuat akan membolehkan hudud dilaksanakan di Malaysia.

Cabaran utama dalam sistem perundangan syariah termasuk konflik bidang kuasa antara Mahkamah Syariah  dan mahkamah sivil serta kekurangan pemahaman masyarakat tentang fungsi Mahkamah Syariah . Pelaksanaan hukuman syariah seperti sebat juga menimbulkan perdebatan.

Dalam era digital, penggunaan teknologi seperti sistem e-pemfailan dan pengurusan kes digital diperkenalkan untuk meningkatkan kecekapan Mahkamah Syariah .

Sokongan masyarakat sangat penting untuk memastikan kejayaan reformasi ini. Kesedaran dan pendidikan yang lebih luas diperlukan agar masyarakat memahami dan menghormati undang-undang syariah.

Kesimpulannya, reformasi sistem perundangan syariah di Malaysia adalah usaha berterusan untuk menyesuaikan undang-undang Islam dengan perkembangan zaman, sambil memastikan prinsip keadilan Islam dipelihara.

Agenda reformasi perundangan dan kehakiman merupakan komitmen semua pihak termasuklahmasyarakat. Pihak kerajaan telah memainkan peranannya yang luas berasaskan ruang lingkup dan keupayaan yang dimiliki. Dalam konteks ini, komitmen dan usaha berterusan dilakukan oleh pihak kerajaan.

Masyarakat juga hendaklah turut serta tanpa terkecuali bersama-sama dengan kerajaan bagi menjayakan agenda reformasi yang amat penting ini. Tanpa sokongan dan pelibatan masyarakat secara menyeluruh, agenda luhur reformasi perundangandan kehakiman syariah sudah pasti akan menemui kegagalan.

 

Artikel ini merupakan rumusan daripada temubual Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar dalam majalah Dewan Tamadun Islam Bil 10/2024

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *