Home » Langit Terbuka » ‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

DATUK Dr Sirajuddin Suhaimee. FOTO FB Jakim

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee kerana dilantik sebagai Ketua Pengarah Jakim yang baharu.

Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, beliau turut mendoakan yang terbaik buat Sirajuddin sepanjang menyandang jawatan itu, berkuat kuasa hari ini.

“Semoga Dato’ Dr Sirajuddin akan menjunjung tinggi amanah ini dengan bekerja keras untuk memartabatkan syiar Islam, memperkasa industri halal serta memperkukuh tadbir urus hal ehwal Islam secara berwibawa dan berhikmah.

“Sekalung penghargaan dan terima kasih atas khidmat bakti Datin Paduka Hajah Hakimah Mohd Yusoff sepanjang mengemudi Jakim,” katanya.

Sirajuddin, 57, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia, memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Penolong Pengarah (Dakwah) di Jabatan Agama Islam Selangor pada 2 Januari 1992.

Pemegang Ijazah Sarjana Sains Teknologi Maklumat dari Universiti Teknologi MARA dan Ijazah Doktor Falsafah (Sains Komputer) dari Universiti Australia Selatan itu pernah berkhidmat sebagai Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan Jakim, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jakim serta Setiausaha Pertama (Halal) di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Canberra.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *