Home » Langit Terbuka » Majlis agama, agensi di bawah JAKIM perlu urus aset GISBH

Majlis agama, agensi di bawah JAKIM perlu urus aset GISBH

Foto hiasan.

Pelantikan majlis agama Islam negeri (MAIN) sebagai pemegang amanah dalam pengurusan aset GISB Holding s(GISB) adalah langkah strategik memastikan kemampanan pengurusan aset lebih beretika dan berkesan.

MAIN sebagai institusi Islam bertanggungjawab menguruskan harta umat Islam terutama baitulmal, wakaf dan zakat mempunyai pengalaman serta struktur diperlukan.

Ini kerana apa yang berlaku terhadap GISB membabitkan isu kompleks termasuk akidah memerlukan proses pemulihan tidak diketahui tempoh kesudahannya.

Jika aset GISB tidak diuruskan dengan baik, adalah pembaziran dari aspek ekonomi dan sosial. MAIN mempunyai punca kuasa untuk memegang, mentadbir dan menguruskan harta baitulmal, termasuk aset GISB atas nama pemilik umat Islam.

Peruntukan pengurusan hal ehwal agama, termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu Jadual Kesembilan, Senarai 2 Senarai Negeri menyatakan negeri mempunyai hak mengawal selia hukum agama berkaitan harta seperti zakat, wakaf dan baitulmal.

Walaupun aset GISB tidak dikategorikan aset baitulmal, wakaf atau zakat, secara dasarnya kumpulan jemaah GISB adalah umat Islam di negara ini. Justeru, MAIN selaku pihak berwajib layak mengambil alih ‘seketika’ pengurusan aset ini, ketika proses siasatan masih berjalan.

Umum mengakui pengurusan ekonomi direncanakan GISB berkembang pesat atas sokongan pembeli beragama Islam. Kita tidak mahu aset bernilai terbiar dan terlepas kepada pihak lain. Oleh itu, MAIN di setiap negeri perlu duduk berbincang menentukan apakah perlu dilakukan bagi menguruskan aset terbabit.

Tentunya agensi Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) perlu dilibatkan untuk membincangkan pengurusan terbaik mengendalikan aset GISB ini.

Walaupun model ekonomi diamalkan GISB didakwa bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam kerana mempunyai unsur penindasan dan eksploitasi kanak-kanak, wanita serta keluarga, pemegang taruh terutama MAIN, JAWHAR dan YWM perlu membaikinya dengan menggunakan kaedah ekonomi Islam sebenar.

Pakar ekonomi Islam boleh dipanggil untuk menyumbang tenaga dan buah fikiran. Ini kerana apa yang salah tetap salah, tetapi kita tetap perlu menyelamatkan apa yang perlu atas nama Islam.

Pembangunan sosi-ekonomi baik, dapat memperkasa ekonomi MADANI dan memastikan kebajikan umat Islam terjaga melalui penggunaan hasil daripada aset diuruskan.

Pengoperasian berdasarkan prinsip syariah, akan memastikan semua urusan kewangan dan pengurusan dana dilakukan dengan adil dan bertanggungjawab.

Ketelusan dan kebertanggungjawaban MAIN, JAWHAR dan YWM tidak perlu diragui lantaran mereka juga diaudit saban tahun oleh pihak berwajib.

Pelantikan ini diharapkan sedikit sebanyak dapat memulihkan kembali imej Islam tercalar, terutama selepas isu pembekuan akaun oleh pihak berkuasa terhadap GISB.

Ketika Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melaksanakan pelan tindakan menyeluruh menangani isu pengeksploitasian kanak-kanak dan agama terutama dalam memastikan aspek akidah dan kebajikan kanak-kanak, remaja serta wanita terbabit dibela, MAIN, JAWHAR dan YWM pula perlu menggembleng tenaga memastikan pemusatan ekonomi aset GISB dapat turut diselamatkan mengikut jalan syariah.

Hakikatnya, pelantikan MAIN sebagai pemegang amanah pengurusan aset GISB adalah langkah positif ke arah memastikan pengurusan lebih bersasar dan efektif dalam era ekonomi MADANI.

MAIN menghulurkan tangan menyelamatkan aset-aset umat Islam daripada terus lenyap tanpa jejak. Ungkapan ‘tidak dapat buat semua, jangan tinggal semua’ sering digunakan sebagai peringatan untuk mengambil langkah kecil dalam mencapai sesuatu lebih besar, walaupun tidak mampu menyelesaikan sepenuhnya.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *