Home » Langit Terbuka » Pulau Pinang putuskan fatwa mengenai GISBH selepas MKI bersidang

Pulau Pinang putuskan fatwa mengenai GISBH selepas MKI bersidang

Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang akan meneliti keputusan Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang bersidang mulai hari ini sebelum memuktamadkan status doktrin diperjuangkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sebagai ajaran sesat.

Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman, berkata, pihaknya memutuskan pendekatan sedemikian dengan mengambil kira siasatan mengenai GISBH dibuat di peringkat nasional.

“Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang akan buat mesyuarat selepas MKI, insya-Allah dalam minggu ini, sebab ia isu nasional bukan negeri saja.

“(Susulan perbincangan dalam MKI), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan buat keputusan dan kemudian kita akan turun ke peringkat negeri untuk bincang soal fatwa.

“Keputusan akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Seminar Fikrah Madani Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi: Penghayatan Manhaj Islam dan Tajdid Dalam Pemerkasaan Umat di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal EhwalAgama), Dr Muhammad Razak Idris, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail dan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Datuk Ahmad Azam Ab Rahman.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata keputusan berkaitan doktrin fahaman GISBH bakal diketahui selepas mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja (MRR) yang dijadual bersidang bulan depan.

Beliau berkata, tindakan pantas turut diambil Jawatankuasa MKI yang dipengerusikan Datuk Dr Nooh Gadut yang bersidang mengenai isu itu membabitkan semua mufti negeri di Terengganu selama tiga hari, bermula hari ini.

Mohd Sukki berkata, Jabatan Mufti Pulau Pinang akan turut meneliti semua bukti yang ada sebelum mengambil tindakan daripada aspek hukum.

“Kita di Jabatan Mufti ini tak terbabit dalam penguatkuasaan, ia tugas jabatan agama bersama pihak polis. Sebaliknya kita adalah sumber rujukan agama, jadi apa-apa yang berkaitan pemahaman yang salah, maka kita kita akan buat keputusan.

“Jika bukti yang dijumpai adalah benar dan disahkan, barulah kita akan ambil tindakan isytiharkan sebagai ajaran sesat,” katanya.

Tambahnya, jika didapati amalan yang pernah dihidupkan ‘Al-Arqam’ diteruskan pengikut GISBH, maka Jabatan Mufti Pulau Pinang tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mengisytiharkan ajaran itu sebagai sesat.

Terdahulu, Perlis menjadi negeri pertama mengisytiharkan GISB sebagai kumpulan ajaran sesat. Ia diikuti reaksi beberapa mufti lain antaranya Terengganu, Kelantan dan Selangor yang sedang meneliti kemungkinan melakukan pengisytiharan sama.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *