Home » Langit Terbuka » Arab Saudi giat banteras skim promosi haji secara haram dengan Malaysia

Arab Saudi giat banteras skim promosi haji secara haram dengan Malaysia

Kuala Lumpur: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengingatkan bakal jemaah negara ini supaya menggunakan agensi rasmi Lembaga Tabung Haji (TH) dan Arab Saudi dalam perancangan menunaikan haji dan umrah bagi memastikan pengalaman ziarah yang selamat.

Menterinya Dr Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabiah berkata, ini kerana pihaknya amat menitikberatkan aspek keselamatan dan keselamatan bakal jemaah.

“Kami sedang giat membanteras skim promosi haji (secara) haram dengan kerjasama kerajaan Malaysia.

“Saya ingin menekankan kepentingan menggunakan hanya platform rasmi Malaysia dan Saudi untuk perancangan haji dan umrah. Ini (bagi) memastikan pengalaman ziarah yang selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar di ibu negara hari ini.

Tawfiq kini dalam rangka lawatan ke Malaysia bermula Isnin hingga Rabu (26-28 Ogos) bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara kerajaan Arab Saudi dan Malaysia.

Mengulas lanjut, Tawfiq turut mengucapkan penghargaannya kepada kerajaan Malaysia atas perancangan rapi dalam hal ehwal jemaah dan skim latihan yang terpuji.

Beliau berkata, komitmen negara ini bagi memastikan ziarah yang lancar untuk rakyat Malaysia adalah sejajar dengan dedikasi Arab Saudi bagi memberikan pengalaman yang terbaik untuk semua pelawat ke tapak suci.

Dalam pada itu, Tawfiq turut menyatakan bahawa kedua-dua negara juga telah menubuhkan pasukan petugas.

Katanya ia mempunyai dua objektif utama iaitu pertamanya bagi melihat kemungkinan meluaskan inisiatif Jalan Makkah kepada jemaah umrah Malaysia.

“Kedua, mengkaji potensi aplikasi model perniagaan TH untuk pengurusan haji di negara lain,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengumumkan pihaknya menawarkan perkhidmatan tambahan dalam aplikasi Nusuk yang akan tersedia dalam Bahasa Melayu tidak lama lagi.

Katanya, perkhidmatan tambahan itu adalah bertujuan untuk menambah baik perkhidmatan sedia ada.

Mohd Na’im pula menyifatkan lawatan rasmi Tawfiq akan terus mengeratkan hubungan diplomatik Malaysia dan Arab Saudi yang sedia erat terjalin.

“Pada masa (sama) ia akan memberikan manfaat kepada umat Islam khususnya dalam pengurusan haji dan umrah,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa negara ini amat menyokong langkah ketat yang dibuat oleh Arab Saudi termasuk mengenakan penalti terhadap mereka yang melanggar peraturan.

“Ia untuk memastikan keselamatan jemaah dan menunaikan haji dalam keadaan aman dan tenteram.

“Saya sekali lagi menekankan komitmen kami dalam mendidik bakal jemaah haji agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya.

 

Artikel Berkaitan

Bengkel Pelan Strategik YADIM 2024

WALAUPUN Sudah banyak kejayaan yang dikecapi, warga badan dakwah ini diseru untuk tidak cepat berpuas hati, malah perlu berusaha lebih gigih lagi

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *