Home » Langit Terbuka » Tuduhan kafir harbi pemikiran sangat bahaya – Dr Zulkifli

Tuduhan kafir harbi pemikiran sangat bahaya – Dr Zulkifli

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

KUALA LUMPUR: Pemikiran ‘gluluw’ atau melampaui batas individu yang melemparkan tuduhan kafir harbi sewenang-wenangnya sangat bahaya, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Susulan itu, beliau mengajak rakyat menolak pemikiran sedemikian, sebaliknya sentiasa bersama menyuburkan Malaysia dengan al-Taayush al-Silmi yakni kewujudan bersama secara damai.

Tegasnya, semua pihak perlu berhati-hati dalam penggunaan istilah kerana pengklasifikasian ulama kontemporari cukup jelas bahawa bukan Muslim yang tinggal di sesebuah negara dan menikmati hak serta tanggungjawab dalam negara adalah warga negara yang terikat dengan undang-undang dan Perlembagaan negara.

“Abu Zar Radiyallahu ‘anhu berkata, beliau mendengar Nabi Muhammad Sallallahu ‘alayhi wa-sallam bersabda: “Tidaklah seseorang melempar tuduhan kepada orang lain dengan kefasikan dan tidak pula menuduh dengan kekufuran melainkan (tuduhan itu) akan kembali kepadanya, jika saudaranya tidak seperti itu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

“Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa-sallam juga bersabda: “Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”. (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Dari Jabir Radiyallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa-sallam bersabda: “Di antara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari Kiamat ialah orang yang baik akhlaknya”. (Hadis Riwayat Tirmizi),” katanya dalam kenyataan di X.

Zulkifli berkata, Bulan Kemerdekaan sepatutnya menjadi medan untuk semua pihak menginsafi nikmat keamanan di Malaysia dengan memupuk perpaduan, bukannya saling mengapi-apikan permusuhan hanya semata-mata kerana perbezaan ideologi politik.

Katanya, umat Islam di negara ini hendaklah berada atas Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan mengamalkan pendekatan wasatiyah penuh kesantunan serta berakhlak mulia.

“Individu beriman tidak akan menunjukkan akhlak sebegitu, sebaliknya sentiasa berhati-hati dengan setiap tutur kata,” katanya.

Semalam, media melaporkan DAP menuntut individu yang dikatakan mendakwa parti itu adalah ‘kafir harbi di Malaysia’ pada program ceramah PAS dan Perikatan Nasional (PN) pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri ( DUN) Nenggiri supaya memohon maaf.

Dalam satu kenyataan bersama Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman, dipetik berkata individu terbabit dipercayai menjadi pengerusi pada majlis berkenaan.

Berikutan itu PN ‘merehatkan’ sementara seorang pengacara majlis daripada terbabit program ceramah kempen PRK selepas individu itu dikatakan tersasul menyebut perkataan ‘kafir harbi’ terhadap DAP dalam ceramah di Sungai Asap, Gua Musang, malam kelmarin.

Pengarah Operasi PN bagi PRK DUN Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa, berkata individu terbabit direhatkan selama tiga hari bermula kelmarin dan tidak akan terbabit sebarang ceramah kempen mereka sepanjang tempoh itu.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *