Home » Langit Terbuka » USIM perluas usaha bantu pelajar Palestin, cari penajaaan tambahan

USIM perluas usaha bantu pelajar Palestin, cari penajaaan tambahan

Foto Fail – USIM

PUTRAJAYA: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengajak lebih ramai individu dan syarikat bersama-sama membantu menaja pelajar dari Palestin untuk menimba ilmu di negara ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah USIM Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan berkata sebanyak 135 pelajar dari negara bergolak itu sedang melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah dan Doktor Falsafah (PhD) di USIM, menjadikan ia universiti awam yang mempunyai bilangan pelajar Palestin tertinggi setakat ini.

“Sejak 2002, sebanyak 36 pelajar Palestin telah menamatkan pengajian … kami berusaha membantu mereka sebaik mungkin dan cuba mencari penaja untuk mereka belajar di sini,” katanya selepas menghadiri majlis bersama media di sini semalam.

Nik Norzrul Thani berkata pada tahun lepas, sebanyak RM260,000 diperuntukkan untuk membiayai yuran pelajar Palestin di USIM, selain itu universiti berkenaan juga mempunyai jabatan khusus membantu pelajar negara itu bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga emosi mereka.

“Kami mahu memastikan mereka berasa bahagia dan selamat di Malaysia, apabila segalanya selesai (peperangan dan pengajian), kami mendoakan agar mereka dapat kembali ke negara asal dan membina semula negara mereka,” katanya.

Pada majlis itu, USIM turut melancarkan dokumentari pendek sebagai tanda penghargaan khas kepada petugas Palestin di universiti berkenaan bertajuk The Great Sacrifice.

Sementara itu, pensyarah Palestin di USIM Dr Wesam Almahallawi yang menetap di Malaysia selama lapan tahun bersama isteri dan anaknya berkata beliau berharap dunia dapat memberi perhatian kepada nasib rakyat negara itu dan menyokong perjuangan mereka.

“Bagi rakyat Palestin, penderitaan dialami sejak lahir. Mereka menanggung pelbagai kesukaran dan halangan dari segi pendidikan dan kehidupan seharian. Namun, mereka terus berusaha untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.

“Ibu bapa, adik-beradik dan saudara-mara saya masih di Gaza, berdepan cabaran yang sama dengan rakyat lain. Saya sentiasa berhubung dengan mereka yang kerap berpindah mencari tempat yang selamat di Gaza. Malangnya, saya kehilangan lebih 20 ahli keluarga semuanya dalam satu serangan,” katanya. — AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

Bengkel Pelan Strategik YADIM 2024

WALAUPUN Sudah banyak kejayaan yang dikecapi, warga badan dakwah ini diseru untuk tidak cepat berpuas hati, malah perlu berusaha lebih gigih lagi

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *