Home » Langit Terbuka » PM seru umat Islam istiqamah, hayati hijrah Rasulullah

PM seru umat Islam istiqamah, hayati hijrah Rasulullah

Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI Peringkat Kebangsaan 2024 di Kampung Chengal Lempong, hari ini. FOTO BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam di negara ini supaya terus beristiqamah dalam kebaikan.

Dalam pesanan sempena sambutan tahun baharu Hijrah 1446 esok, beliau menyeru rakyat beragama Islam untuk berhijrah daripada mungkar kepada makruf, daripada kemelampauan kepada kesederhanaan, dan daripada keangkuhan kepada ketawadukan serta kesyukuran.

Katanya, umat Islam perlu mengenang peristiwa ulung hijrah Rasulullah dan keberhasilan umat mendirikan kota Madinah, yang menuntut sebuah pengorbanan.

“Perjuangan bagi meraih cita-cita yang tinggi tentunya menuntut pengorbanan.”Tatkala kita mengenang peristiwa ulung Hijratur Rasul dan keberhasilan umat mendirikan kota Madinah, harus jua kita mengingat episod derita dan sengsara yang telah menyelubungi umat selama bertahun lamanya.

“Namun baginda tetap mendidik umat agar bersabar dan yakin dengan janji-Nya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Awal Muharram atau Maal Hijrah adalah peristiwa sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, dasar kenegaraan yang mencerminkan sikap rahmah dan adil buat semua mampu diterbitkan daripada kekuatan rohani.

“Sesebuah daulah akan sentiasa dalam berkat kejayaan (falah) selagi mana dipaculkan akhlak dan nilai yang mulia dalam kehidupan masyarakatnya.

“Semoga Allah SWT memberkati tiap langkah dan ikhtiar kita, kullu ‘am wa antum bi khayr,” katanya.

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *