MAKKAH: Penggunaan media sosial jika digunakan untuk menyalurkan perkara bagi mengajak orang mengerjakan kebaikan, maka baiklah jadinya hinggakan mendapat banyak maklum balas positif daripada orang lain.
Personaliti radio dan televisyen, Faizal Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan FBI menggunakan media sosial untuk mengajak melakukan perkara yang baik termasuk memindah naik hantaran mengenai tawaran menunaikan haji.
“Pada mulanya saya enggan ambil serius mengenai perkara ini, tetapi mungkin disebabkan mereka sendiri teruja, saya guna peluang ini untuk maklumkan kepada semua mengenai tawaran haji daripada Tabung Haji dan menerima banyak maklum balas positif,” katanya kepada Petugas Media Tabung Haji (TH), di sini, baru-baru ini.
Menurut FBI, dia sentiasa akan kemas kini atau ‘update’ pergerakan di Makkah, cuma hanya ketika melaksanakan ibadah yang memerlukan tumpuan dia tidak akan berbuat demikian.
“Saya akan kongsikan semua pergerakan saya sekerap mungkin, siapa tahu disebabkan keterujaan itu, pengikut saya di media sosial akan turut mendaftar untuk menunaikan haji. Jadi saya rasa bertanggungjawab di situ walaupun bermula dengan sekadar ‘share’ (kongsi) sahaja,” katanya lagi.
FBI yang mempunyai 362,000 pengikut di laman sosial Instagram dan 20,000 pengikut di laman meta/Facebook akan terus memberikan ‘update’ terkini sepanjang perjalanannya ketika menunaikan haji.
“Saya selalu berpesan kepada keluarga hanya kongsi perkara yang baik-baik sahaja. Benda yang tidak baik jangan sekali-kali kongsikan. Memang ujian akan di mana-mana pun,” katanya lagi datang bertiga bersama isteri Nor Azlina Ahmad Din dan anak sulungnya, Nurkhairina Iman.
Mengenai tiga lagi anak yang ditinggalkan, FBI berkata, memanglah terasa bagi dirinya dan isteri kerana lebih sebulan akan berada di Tanah Suci, tetapi dengan teknologi yang ada pada masa kini, video call tiada masalah.
“Kita sentiasa menghubungi dan berikan ‘update’. Kami pernah bawa mereka ke sini ketika umrah dan sedikit sebanyak mereka faham.
“Kita beritahu mereka bahawa haji adalah Rukun Islam yang kelima dan kali ini ayah, ibu dan kakak dijemput oleh Allah SWT. Dua anak perempuan duduk di asrama dan seorang anak lelaki duduk dengan datuknya,” katanya lagi.
FBI sudah mendapat pentauliahan sebagai pengajar motivasi dari Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) sehingga 2025.
KOMEN