Home » Langit Terbuka » Tindakan tidak bercanggah syariat, bertepatan fatwa

Tindakan tidak bercanggah syariat, bertepatan fatwa

ARAHAN untuk mengasingkan kubur suspek serangan tersebut dibolehkan atas pertimbangan pemerintah.

Assalamualaikum SS Datuk Mufti, baru-baru ini saya melihat di berita bahawa jenazah suspek insiden serangan bersenjata diasingkan daripada kubur orang Islam yang lain untuk memberi peringatan kepada orang lain agar tidak mengulangi perbuatan tersebut. Adakah cara ini dibolehkan?

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke Hari Kiamat.

Perbuatan menyerang orang lain dengan senjata dikira sebagai perbuatan hirabah yang merupakan dosa besar dan boleh dikenakan hudud. Hal ini berdasarkan firman Allah SAW: “Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas) atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas) atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja) atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.”

Sheikh al-Sa’di dalam tafsirnya mengatakan bahawa ayat ini menunjukkan bahawa hirabah adalah antara dosa yang paling besar yang layak menerima penghinaan di dunia dan azab di akhirat serta pelakunya ialah orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya.

Berkaitan isu ini, perbuatan mengasingkan kubur suspek serangan bersenjata sebagai peringatan kepada masyarakat tidak ada disebut secara khusus oleh para ulama, namun ia boleh disamakan dengan fatwa pengasingan kubur orang yang meninggalkan solat seperti yang disebut oleh al-Allamah Abdul Rahman bin Muhammad al-Masyhur, kata beliau: “Bahkan (orang yang meninggalkan solat) sepatutnya dikebumikan di tempat yang jauh daripada Muslimin dan tempat itu dinamakan perkuburan orang-orang fasiq seperti yang disebut oleh al-Qutb al-Sayyid Ahmad bin Sumait.”

Ia juga boleh dikaitkan dengan contoh yang berlaku pada zaman Nabi SAW di mana Nabi SAW tidak menunaikan solat jenazah ke atas orang yang membunuh diri. Ia disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Samurah RA, kata beliau: “Nabi SAW didatangkan dengan jenazah seorang lelaki yang membunuh diri dengan busur panah, maka kemudian nabi tidak solatkannya.” (Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini mengatakan bahawa perbuatan nabi yang tidak solatkan jenazah tersebut adalah sebagai peringatan kepada orang lain supaya tidak melakukan perkara yang sama.

Oleh yang demikian, tindakan pengasingan tersebut dibolehkan dan ia dilakukan atas dasar pertimbangan dan kebijaksanaan pemerintah yang semestinya tertakluk maslahat masyarakat. Hal ini berdasarkan kaedah: Polisi atau tindakan seorang pemerintah terhadap rakyatnya mestilah tertakluk kepada maslahah.

Maslahat yang dimaksudkan oleh kaedah ini bermaksud mendatangkan manfaat dan mengelakkan kemudaratan seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Ghazali, kata beliau: “Adapun maslahat pada asalnya bermaksud mendatangkan manfaat atau menolak kemudaratan.”

Dalam kes ini khususnya, tindakan tersebut menjadi peringatan kepada masyarakat awam agar perbuatan tersebut tidak berulang sehingga boleh mengancam keselamatan negara, apatah lagi jika yang diserang itu merupakan anggota keselamatan yang bertugas menjaga keamanan negara.

Tambahan pula, tidak ada larangan khusus oleh ulama ke atas tindakan tersebut, bahkan Imam al-Nawawi mengharuskan untuk seseorang itu dikebumikan di tempat yang bukan tanah perkuburan, kata beliau: “Pengebumian di dalam rumah dan tanah perkuburan adalah harus, namun pengebumian di tanah perkuburan itu lebih afdal secara sepakat ulama. Makna rumah (yang disebutkan itu) termasuk juga kebun atau mana-mana tempat lain yang bukan tanah perkuburan.”

Arahan untuk mengasingkan kubur suspek serangan tersebut dibolehkan atas pertimbangan pemerintah yang tertakluk kepada maslahat iaitu sebagai peringatan kepada orang lain agar tidak mengulangi perbuatan yang sama.

Tindakan tersebut juga tidak bercanggah dengan syariat, bahkan ia bertepatan dengan fatwa sebahagian ulama untuk mengebumikan orang-orang fasiq di kubur yang berasingan daripada orang Muslim yang lain.

Wallahua’lam

Penulis Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *