KUALA LUMPUR: Kerajaan akan bertindak dengan keras terhadap pelaku dan gerombolan pelampau serta penghasut yang terlibat dalam beberapa insiden keganasan yang berlaku di negara, baru-baru ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata terdapat usaha, untuk mengeruhkan keadaan Malaysia yang aman dan ekonomi yang mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan ketika ini.
“Beberapa minggu kebelakangan ini, negara kita dikejutkan dengan beberapa insiden keganasan yang meragut nyawa pasukan keselamatan dan tindakan gerombolan pelampau, penghasut.
“Saya beri jaminan setelah mengadakan pertemuan dengan pasukan keselamatan, bahawa kita akan bertindak keras terhadap gerombolan tersebut dan insya-Allah keadaan akan bertambah tenang dan terkawal,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Negarayang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan malam ini.
Dalam insiden yang berlaku pada awal pagi 17 Mei, dua anggota polis di Balai Polis Ulu Tiram, di Johor Bahru, Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terbunuh selepas diserang seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang.
Seorang lagi anggota polis, Koperal Mohd Hasif Roslan mengalami kecederaan akibat ditembak.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor berkata suspek yang turut terbunuh dalam insiden serangan itu, dipercayai bertindak sendirian dan tiada mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana kumpulan militan.
Dalam kejadian berasingan di Kuala Lumpur pada hari yang sama, dua lelaki warga tempatan ditahan oleh anggota polis selepas mereka cuba menceroboh Istana Negara, dengan pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan suspek menemukan sebilah parang.
Pada Sabtu, polis mengesahkan mereka menerima laporan daripada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim, berhubung ancaman surat berisi dua butir peluru dan satu kertas putih bersaiz A4 tertera perkataan ugutan bunuh, yang diletakkan di peti surat kediamannya.
Pada Ahad pula, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan selepas disyaki menceroboh Balai Polis Dato’ Keramat di Pulau Pinang dan cuba merampas senjata api milik anggota polis.–AlHijrah Online
KOMEN