KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersama Media Mulia Sdn. Bhd. (Media Mulia) telah bekerjasama menganjurkan Kongsi Berkat Bubur Lambuk sempena Ramadan di Surau Al-Husna Seri Semarak, Setapak di sini kelmarin.
Sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk telah diagihkan kepada penduduk serta jemaah surau terbabit sebagai juadah untuk berbuka puasa.
Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, program itu merupakan kerjasama sulung pihaknya bersama Media Mulia bagi program agihan bubur lambuk pada bulan Ramadan tahun ini.
Katanya, program itu sekali gus memberi peluang kepada pihak MAIWP untuk menyantuni asnaf dan masyarakat setempat selari dengan fungsinya sebagai agensi kerajaan.
“Masih banyak lagi rakan kerjasama MAIWP dalam program seumpama ini termasuklah agihan bubur lambuk di masjid-masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“MAIWP dan Media Mulia sentiasa berhubung bagi MAIWP mendapatkan perkhidmatan liputan berita dan promosi daripada Media Mulia dalam program anjuran MAIWP,” katanya ketika ditemui di program tersebut.
Jelas beliau, lokasi Surau Al-Husna dipilih bagi menyantuni masyarakat khususnya muslimin dan muslimat di sekitar surau berkenaan.
“Surau Al-Husna juga mempunyai kemudahan serta kawasan cukup luas untuk merealisasikan program agihan pada hari ini.
“Selain itu, ramai penerima bantuan daripada MAIWP tinggal di kawasan projek perumahan rakyat (PPR) ini juga, oleh itu secara tidak langsung kami dapat menyantuni mereka dengan lebih dekat menerusi program ini,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP, Mohd. Fauzi Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd. Nizam Yahya dan Ketua Pegawai Kewangan Media Mulia, Abd. Wahid Idris.
Dalam pada itu, Syed Kamarulzaman berkata, pihaknya begitu berbesar hati kerana dapat bersama-sama turun padang dengan pasukan Media Mulia berkongsi rezeki bersama penduduk di kawasan tersebut.
“MAIWP dan Media Mulia sentiasa berhubung dan membantu kami mendapatkan perkhidmatan liputan berita dan pelbagai promosi program anjuran MAIWP.
“Difahamkan, Media Mulia melalui Kosmo! dan Utusan Malaysia juga sering membuat liputan berita serta menguar-uarkan kepada masyarakat umum tentang peranan MAIWP,” katanya.
Susulan itu, beliau juga berharap lebih banyak pihak di luar sana yang tampil bekerjasama dengan MAIWP dalam membantu menyantuni masyarakat khususnya golongan asnaf.
“Kita tidak boleh lagi bekerja secara solo, team work itu amat penting.
“MAIWP sendiri tidak mampu bekerja seorang, jadi kami perlukan rakan-rakan strategik supaya kita dapat sama-sama membantu membuat kebajikan dan kebaikan dalam sudut pandangan yang berbeza,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Surau Al-Husna Seri Semarak, Mahat Yunus berkata, pihaknya teruja dan berbangga kerana dapat bekerjasama dengan pihak MAIWP dan Media Mulia untuk mengedarkan bubur lambuk percuma buat penduduk setempat.
“Kerjasama antara surau dengan MAIWP memang erat, selalunya bantuan daripada MAIWP dihantar melalui surau.
“Jadi, untuk anjuran program ini kami memang bersedia dari awal pagi lagi untuk bergotong royong memasak dan menyiapkan bubur lambuk dengan menggunakan dua buah kawah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Tukang Masak, Fatisi Ahmad berkata, kira-kira 20 peserta terlibat dalam sesi memasak dan menjayakan program agihan bubur lambuk itu.
“Kami sudah siap-sedia membeli bahan untuk memasak bubur lambuk ini sejak semalam lagi.
“Hari ini seawal pukul 8 pagi lagi kami sudah mulakan tugas menyediakan bahan dan memasak bubur lambuk untuk 1,000 pek.
“Kami menggunakan bahan utama iaitu daging dan udang kering yang akan menaikkan lagi aroma bubur lambuk ini,” katanya yang sudah berpengalaman dalam penyediaan bubur lambuk di surau tersebut setiap tahun. -KOSMO! ONLINE
KOMEN