Home » Langit Terbuka » Waspada individu mengaku keturunan Nabi Muhammad, Mawla Amin

Waspada individu mengaku keturunan Nabi Muhammad, Mawla Amin

Dr Mohammad Fahmi Ngah

Shah Alam: Kerajaan negeri Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menimbulkan keraguan dan fitnah dalam kalangan masyarakat Islam membabitkan isu individu yang mendakwa keturunan Rasulullah SAW.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, kerajaan negeri bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mengusahakan tindakan bersama dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk menghalang kemasukan anasir sebegini ke Selangor.

“Saya ingin mengingatkan umat Islam di Selangor supaya terus berwaspada dan berhati-hati dengan pengakuan atau kenyataan mana-mana individu yang mengaku dirinya berketurunan Nabi Muhammad atau Ahlul-Bayt, khususnya Mawla Mohamed Amin Al-Hassani yang mendakwa dia adalah cicit Rasulullah SAW.

“Saya menggesa umat Islam khususnya di Selangor merujuk kepada pandangan rasmi Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) atau Jabatan Mufti Negeri Selangor, dan jangan mudah terpedaya dengan pengakuan sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, umat Islam perlu menjadikan agensi Agama Islam rasmi negeri sebagai rujukan yang lebih jelas berhubung perkara ini.

“Kita hidup di waktu maklumat boleh diperoleh di hujung jari. Kita sudah ada agensi Agama Islam rasmi negeri untuk memudahkan masyarakat membuat aduan dan mendapatkan rujukan atau panduan tentang perkara sebegini.

“Andainya rujukan rasmi ini tidak dibuat, maka umat Islam akan mudah diperdaya, dipengaruhi, dimanipulasi dan akan mudah taksub dengan pihak tertentu.

“Saya menyeru kita semua kembali kepada asas ilmu dan fakta supaya kesucian agama Islam itu dapat dikekalkan dan dihormati,” katanya.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *