YADIM telah dijemput menjadi rakan kerjasama dalam penganjuran Konvensyen Antarabangsa Madani yang dirancang diadakan di Melaka Mac ini.
Ia dinyatakan Mufti Melaka, Sahibus Samahah Datuk Wira Abdul Halim Tawil dalam kunjungan hormat badan dakwah ini ke Jabatan Mufti Negeri Melaka pada 16 Januari di Bukit Palah, Melaka.
Program berkenaan bertujuan untuk meneroka strategi dan amalan terbaik bagi memupuk hidup bersama secara aman dan penglibatan inklusif serta mengetengahkan peranan pendidikan, dialog, dan keadilan sosial dalam memupuk masyarakat Madani.
Ia turut mempunyai objektif menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam menggalakkan kewujudan bersama secara aman di peringkat global.
Program anjuran Jabatan Mufti Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka dengan kerjasama rakan badan bukan kerajaan Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan YADIM ini dirancang diadakan selama dua hari dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Datuk Wira Abdul Halim, program tersebut dijangka dihadiri seramai 800 peserta dalam dan luar negeri.
Tambah beliau, penganjuran program ini juga bertepatan dengan rancangan pengisian program keagamaan sempena Tahun Melawat Melaka ketika ini.
Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dalam reaksinya, mengalu-alukan jemputan untuk bekerjasama, yang menurutnya sememangnya menjadi tugas YADIM untuk menyebarkan dakwah.
Hadir sama dalam taklimat sempena kunjung hormat ini ialah Timbalan Mufti Melaka, Haji Hazarudin Baharudin, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Ustaz Zamri Zainal Abidin, Pengarah YADIM Negeri Sembilan dan Melaka, Abdul Halim Ismail, kepimpinan Wadah Melaka dan pusat, wakil rakan badan bukan kerajaan ABIM serta pengurusan Jabatan Mufti Melaka.
KOMEN