KUALA KANGSAR: Semua penceramah atau pendakwah di masjid dan surau di Perak diingatkan supaya tidak mempamerkan kecenderungan ideologi politik kepartian dalam penyampaian mereka, atau tauliah kebenaran mengajar agama mereka boleh ditarik balik.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim, berkata larangan menjadikan masjid atau surau sebagai tempat berpolitik bukan hanya terpakai kepada wakil rakyat atau ‘orang politik’, sebaliknya sesiapa juga yang menunjukkan kecenderungan berkaitan dengannya dalam penyampaian.
“(Mereka yang punyai kecenderungan) pun tidak boleh. Kalau terlepas (dapat tauliah) dan dia mempamerkan kecenderungan maka kita akan ‘mark’ (tanda) dia supaya untuk seterusnya nanti tauliahnya akan ditarik balik.
“Ini adalah arahan yang kita muliakan daripada Sultan Perak (Sultan Nazrin Muizzuddin Shah) bagi menjaga keharmonian masyarakat dengan menyemai kasih-sayang, dan bukannya sikap berkelompok yang boleh merosak dan memecah belahkan perpaduan masyarakat negeri ini,” katanya ketika ditemui hari ini.
Pada 7 Mac lalu, media melaporkan, selain wakil rakyat dan Ahli Dewan Negara, individu yang memegang jawatan dalam parti politik dilarang mengambil bahagian dalam aktiviti mengajar atau bersyarah di masjid dan surau berdaftar di bawah JAIPk.
Larangan menerusi ketetapan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak menerusi pekeliling berhubung garis panduan bertarikh 6 Mac 2023 yang diedarkan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid seluruh Perak itu turut menyenaraikan, calon bertanding dalam mana-mana pilihan raya, serta individu yang sudah bersara sebagai Ahli Dewan Negara serta wakil rakyat namun masih aktif dalam kegiatan politik juga termasuk dalam kategori mereka yang dilarang berbuat demikian.
Dalam perkembangan berkaitan, Harith Fadzilah meminta masyarakat mengambil tanggungjawab supaya tidak memperbesarkan lagu isu mengenai seorang pendakwah terkenal yang didakwa berbahasa kasar dan membuat tohmahan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sesat serta jahil berhubung isu pemuda Ashabul Kahfi yang dikaitkan dengan agama Kristian.
Beliau berkata, isu itu seharusnya dilihat lebih kepada salah faham yang tercetus apabila pendakwah berkenaan dikatakan tidak mendengar sendiri dakwaan yang disandarkan kepada Perdana Menteri berkenaan, secara berhadapan melalui komunikasi dua hala.
KOMEN