KUALA LANGAT: Rakyat Malaysia yang ingin menderma bagi membantu rakyat Palestin khususnya umat Islam di sana dinasihatkan untuk memilih organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dengan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).
Ini kerana, badan yang berdaftar dengan yayasan tersebut tertakluk kepada pemantauan dan peraturannya yang akan menyenarai hitam NGO didapati melakukan penyelewengan dana umum.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama Islam), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ketika ini tiada punca kuasa untuk membolehkan kerajaan atau mana-mana badan mengawal kutipan derma daripada orang awam.
“Saya kini sedang berbincang dengan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Dr. Mohd. Radzif Mohd. Yunus dan Ketua Pengarah YaPEIM, Ameer Ali Vali Mohamed berhubung hal ini.
“Punca kuasa itu tidak perlu dibentangkan di Dewan Rakyat kerana ia adalah di bawah subsidiari peraturan YaPEIM sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Ziarah Madani YaPEIM di Telok Panglima Garang, hari ini.
Terdahulu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor membekukan 41 akaun syarikat pertubuhan Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dan beberapa entiti syarikat lain dengan jumlah keseluruhan RM15,868,762.
NGO tersebut didakwa menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai selepas siasatan dibuat terhadap badan tersebut sejak 17 Oktober lalu.
Dalam pada itu, Mohd. Na’im memaklumkan kerajaan tidak mahu pihak tidak bertanggungjawab menubuhkan tabung kutipan derma yang bertujuan untuk memperdaya majoriti rakyat Malaysia yang suka menderma.
“Harap masyarakat membuat aduan kepada kami sekiranya mereka dapati ada NGO yang lakukan perkara ini. Sentiasa periksa latar belakang NGO terlebih dahulu sebelum beri apa-apa sumbangan,” jelasnya.
Katanya lagi, masyarakat digalakkan supaya menderma melalui Tabung Musaadah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)-Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) sekiranya mereka tidak pasti di mana mereka mahu sumbangan mereka. – UTUSAN
KOMEN