SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan menyalurkan sumbangan RM500 kepada golongan belia di negeri itu yang ingin melangsungkan perkahwinan kali pertama, mulai tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata kerajaan negeri juga akan memberi sumbangan keceriaan sebanyak RM200 seorang kepada golongan warga emas berusia 70 tahun ke atas.
“Selain bantuan kepada golongan belia dan warga emas, peruntukan juga disediakan bagi setiap bayi dilahirkan di negeri ini di mana mereka layak memohon caruman RM100 bawah Skim Simpanan Pendidikan Nasional bermula 2024.
“Dianggarkan seramai 16,000 bayi dilahirkan di Negeri Sembilan. Oleh itu, sebanyak RM1.6 juta diperuntukkan bagi tujuan ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2024 pada Persidangan Ketiga (Belanjawan), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15, di sini, petang tadi.
Seterusnya, Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat berkata, kerajaan negeri akan memberi sumbangan sebanyak RM300 seorang bagi anak-anak yang memasuki sekolah berasrama penuh bawah Skim Sejahtera Rakyat (SSR).
Beliau berkata, ia membabitkan peruntukan sebanyak RM150,000 dengan terhad 500 penerima setahun.
Bagi ibu tunggal pula, katanya, golongan itu yang berpendapatan bawah RM2,000 sebulan akan menerima sumbangan sekali beri sebanyak RM200 seorang.
“Kerajaan negeri juga akan memberikan baucar bantuan lesen motosikal sebanyak RM150 seorang kepada belia daripad keluarga B40 terhad kepada 100 belia dari setiap DUN, dengan peruntukan RM540,000,” katanya.
Mengenai pembangunan usahawan, Aminuddin berkata, program baharu TUNS Perintis akan diperkenalkan mulai tahun depan khusus bagi mewujudkan budaya keusahawan dalam kalangan pelajar sekolah.
“Selain itu, program NS Choice dengan peruntukan RM1 juta di mana usahawan terpilih akan dibimbing ke arah peningkatan kualiti produk, penjenamaan, pembungkusan dan pensijilan,” katanya.
KOMEN