Home » Langit Terbuka » “…ini bukan tentang Tuhan yang kita sembah, lebih 11,000 mangsa di Gaza terdiri Islam dan Kristian” – PM

“…ini bukan tentang Tuhan yang kita sembah, lebih 11,000 mangsa di Gaza terdiri Islam dan Kristian” – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada sesi soal jawab selepas menyampaikan ceramah Persaingan Kuasa Besar dan Ketegangan yang Meningkat di Asia Pasifik: Pandangan dari Asia Tenggara di Universiti California, Berkeley hari ini. - foto BERNAMA

SAN FRANCISCO: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pendirian Malaysia berhubung konflik Palestin-Israel termasuk gesaan untuk gencatan senjata dan menghentikan pengeboman berterusan di Semenanjung Gaza diputarbelitkan, sehingga menampakkan negara ini menyokong tindakan keganasan.

Perdana Menteri menegaskan, setiap pembohongan dan penipuan perlu diperbetulkan selari dengan kenyataannya di Parlimen sebelum ini.

“Seperti apa saya nyatakan di Parlimen, tidak ada dua cara mengenainya. Kami mengutuk keganasan dalam apa sahaja bentuknya dan kami mengutuk secara mutlak tindakan membunuh nyawa mereka yang tidak bersalah serta menjadikan wanita dan kanak-kanak sebagai tebusan.

“Begitu juga Malaysia dengan tegas mengecam pengeboman terhadap orang awam, rumah dan hospital serta kekejaman yang berlarutan terhadap nyawa yang tidak bersalah, kanak-kanak, wanita dan lelaki pada setiap siang dan malam di Gaza tanpa dikenakan hukuman.

“Ini adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan,” katanya pada ucapan awam di Universiti California, Berkeley hari ini.

Ucapan awamnya bertajuk Persaingan Kuasa Besar dan Ketegangan yang Meningkat di Asia Pasifik: Pandangan dari Asia Tenggara di Universiti California, Berkeley hari ini dihadiri kira-kira 250 pelajar.

Beliau yang ketika ini sedang menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-30, turut berkata Malaysia melihat konflik di Gaza sebagai krisis kemanusiaan yang dicetuskan oleh peperangan yang kejam dan tanpa pertimbangan.

“Akhirnya, ini bukan tentang Tuhan yang kita sembah. Lagipun lebih 11,000 mangsa di Gaza adalah terdiri daripada orang Islam dan Kristian serta warga pelbagai negara.

“Ini adalah mengenai mencegah lebih banyak kematian, lebih banyak penderitaan dan lebih banyak kebencian. Penyokong perjuangan Palestin bukanlah menyalur ucapan kebencian mahupun penyokong keganasan,” katanya.

Anwar turut berkata, konflik di Palestin akan memberi kesan kepada orang lain kerana implikasi peperangan Israel-Palestin disifatkan penting dan berpanjangan.

“Ia bakal menjejaskan bukan sahaja Palestin atau Asia Barat dengan lebih luas, tetapi juga meninggalkan kesan dalam hubungan global untuk beberapa tahun akan datang,” katanya.

Menyentuh isu demokrasi di zaman media sosial, Anwar berkata dunia kini mula terperangkap pada masa gangguan yang mendalam merentasi semua aspek hubungan antarabangsa.

Teknologi maklumat sedang membentuk semula masyarakat di mana-mana dan negara serta mula mencapai persimpangan antara peluang dan risiko, yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Anwar berkata, di sebalik semua kelebihan yang ada, media sosial juga memudahkan penyebaran maklumat tidak benar dan kepalsuan yang berbahaya itu pada kelajuan dan skala yang tiada tandingan.

Menyentuh mengenai pengalaman Malaysia pula, beliau berkata negara sudah sekian lama dipamerkan sebagai mercu tanda kesederhanaan, keseimbangan harmoni antara warisan Islam dan kemodenannya yang kaya.

“Dari segi sejarah, Malaysia sudah mengharungi keadaan kompleks agama menerusi tindakan yang cekap, yang membolehkan masyarakat majmuk yang mempunyai kepercayaan berbeza hidup bersama secara aman di bawah payung penduduk yang majoritinya beragama Islam.

“Bagaimanapun, kewujudan platform media sosial di mana-mana membawa cabaran baharu. Era digital membolehkan penyebaran maklumat yang cepat, tetapi ia juga menjadi saluran untuk lebih banyak ideologi tidak bertolak ansur meresap ke dalam wacana Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, aliran pemikiran sebegini yang sering berakar umbi dalam tafsiran Islam yang lebih tegas, sudah menemui tanah yang subur dalam hamparan dunia dalam talian yang tidak terkawal.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *