DAKWAH YADIM kepada komuniti yang berhijrah tidak pernah kunjung padam.
Menerusi Bengkel Jati Diri Ke Arah Pembangunan Komuniti Hijrah Madani pada 4 November di Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA, YADIM menyantuni seramai 50 orang dari kalangan komuniti berkenaan.
Mereka yang hadir ini juga kelak, bakal bertindak sebagai sahabat komuniti untuk mengajak lebih ramai berhijrah kembali ke asal.
Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Ustaz Zamri Zainal Abidin ketika menyempurnakan perasmian program berkata, penganjuran bengkel ini bertujuan memberi kesedaran terhadap komuniti disayangi mengenai matlamat kehidupan sebagai khalifah serta mengukuhkan jati diri komuniti disayangi dalam menjalani kehidupan yang lebih kompleks.
Ujarnya lagi, program ini diharapkan dapat membantu komuniti disayangi istiqamah dalam hijrah mereka kepada fitrah dan menjalani kehidupan berasaskan syariat Islam, di samping menarik lebih ramai individu yang terlibat dengan perlakuan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) kembali kepada fitrah lantas mengamalkan cara hidup bersyariat Islam secara istiqamah.
Program sehari anjuran Bahagian Penyelarasan NGO dan Rakan Strategik YADIM ini mendapat kerjasama Universiti Islam Selangor (UIS) yang 20 pelajarnya bertugas sebagai facilitator, Pertubuhan Insan Permata Disayangi (PINTAS), Pertubuhan Usrah Fitrah (USFI) dan Masjid Sultan Abdul Samad KLIA.
Turut hadir Pengarah Bahagian NGO dan Rakan Strategik YADIM, Ustaz Mohd Khairrul Fuad Samsudin, Pensyarah UIS, Dr Noor Hafizah Mohd Haridi, wakil Majlis Agama Islam Selangor serta wakil masjid.
KOMEN