INSTITUT Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik menjadi lokasi seterusnya Program Seminar Kenegaraan Madani 2023 Negeri Terengganu.
Program pada pada 2 November ini disertai lebih 300 pelajar sekolah di sekitar Kemasik.
Ia dimulakan dengan sesi Motivasi Kenegaraan Madani bertajuk ‘Kedudukan Islam Dalam Pelembagaan Persekutuan’ yang disampaikan oleh Ketua Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Madya Dr. Firdaus Khairi Abdul Kadir.
Forum ‘Perpaduan Asas Pembinaan Negara Bangsa (Kenegaraan)’ menyusul kemudiannya menampilkan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin dan mantan Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Encik Mohd Tahar Sali.
Pengarah YADIM Terengganu, Ustaz Nasrul Hadi Saiadin merupakan moderator bagi forum ini.
Wakil Persatuan Penglibatan Ibu bapa Komuniti dan Swasta Dalam Pendidikan (PIBKS) Daerah Kemaman, Haji Ahmad Rostam Mohamad dalam ucapan aluannya mengucapkan terima kasih kepada YADIM atas penganjuran program ini dan berharap para pelajar yang hadir boleh menjadi agen penyebaran ilmu dan ikon untuk masyarakat madani.
Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus ketika perasmian pula menjelaskan betapa negara menjadikan pentadbiran Rasulullah SAW sebagai contoh dan ikutan.
Ujarnya, menuju masyarakat yang Madani, anak-anak yang cemerlang dan berdaya cipta sangat diperlukan untuk menerajuinya.
Beliau tidak lupa, mengingatkan para pelajar agar sentiasa cakna dan prihatin dengan nasib yang menimpa saudara seagama di Palestin.
Program ini merupakan anjuran Bersama YADIM Terengganu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman, IKBN Kemasik serta PIBKS Kemaman.
KOMEN