Home » Citra Yadim » SPIKEM di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

SPIKEM di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi lokasi terbaharu penganjuran Seminar Peradaban Islam Dalam Ketamadunan Malaysia (SPIKEM) 2023 selepas ia diadakan dengan jayanya pada 26 Oktober.
Mengangkat tema “Masyarakat Majmuk Dalam Pembentukan Negara Madani”, siri kelima SPIKEM itu dianjurkan YADIM dengan kerjasama Pusat Kajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam (ArabIC), Fakulti Pengajian Islam UKM bertempat di Dewan Sheikh Othman Sarawak dengan dihadiri oleh hampir 200 pelajar.
Penganjurannya disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal Ehwal Agama) Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar.
Program dimulakan dengan sesi wacana tokoh dan forum yang menampilkan pakar dan ilmuan tidak asing lagi seperti Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Haji Othman (IKIM), Prof. Madya Dr. Azmul Fahimi Kamaruzaman (UKM), Prof Madya Dr Emy Azziaty Rozali (UKM), Dr. Anwar Muttaqin (UKM), Encik Ahmad Saparudin Mohd Yusup (Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita YADIM) dan Muhammad Adli Jamiri (wakil mahasiswa).
Dalam sesi perasmian pula kemudiannya, Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im berkata penganjuran program oleh YADIM dan UKM ini sangat penting kerana ia memberi kesedaran bahawa usaha membina peradaban seharusnya berdasarkan rasa hormat menghormati.
Aspek ini ujarnya, tidak boleh menjadi taruhan, kerana perlu ada rasa tanggungjawab dalam kalangan rakyat. Tambah beliau, cukuplah konflik di negara asing menjadi pengajaran kepada penduduk negara ini.
Katanya lagi, mahasiswa perlu terlibat aktif sebagai agen untuk mewujudkan masyarakat bertamadun dan Madani.
Beliau juga sempat menyeru para mahasiswa agar sentiasa sedar dengan perkembangan semasa seperti konflik di Palestin yang sedang berlaku sekarang.
Terdahulu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim yang mewakili Yang Dipertua YADIM dalam ucapannya berkata, pihaknya akan sentiasa mendukung usaha dakwah, termasuk kepada bukan Muslim.
Penganjuran seminar ini jelas beliau, amat bertepatan kerana menerusinya, ia dapat menyampaikan maklumat yang betul kepada para peserta.
Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof. Madya Dr. Ahmad Sunawari Long pula sebelum itu mengucapkan tahniah dan terima kasih atas penganjuran seminar ini. Menurut beliau, YADIM dan pihaknya telah lama mempunyai hubungan baik dan percaya ia akan berterusan.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyampaian perhargaan untuk penyumbang artikel berimpak tinggi Jurnal Penyelidikan YADIM oleh Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im kepada penulisnya, Pensyarah Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Madya Dr. Kamaruddin Salleh.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penyelidikan Dakwah YADIM, Datuk Dr Harlina Halizah Haji Siraj dan timbalannya Dr Fatimah Syarha Mohd Noordin hadir sama ke program ini.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *