Home » Langit Terbuka » Malaysia sasar edar 500,000 al-Quran ke luar negara akhir tahun ini

Malaysia sasar edar 500,000 al-Quran ke luar negara akhir tahun ini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat naskah al-Quran pada majlis Solidariti Wakaf Sejuta al-Quran, di Nasyul Quran, Putrajaya pada 15 September 2023. Sebanyak tiga kontena dilancarkan hari ini, yang akan membekalkan 30,000 naskhah al-Quran dan terjemahan Bahasa Inggeris, diiringi dengan terjemahan Bahasa Cina ke tiga negara iaitu Australia, Kanada dan United Kingdom. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA – Sebanyak 500,000 naskah al-Quran yang dicetak di Malaysia disasarkan untuk diedarkan ke luar negara menjelang akhir tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Setakat ini, katanya, sebanyak 34,500 naskah al-Quran menerusi inisiatif pengedaran sejuta naskah al-Quran yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diedarkan ke Kemboja, Australia, Kanada, Amerika Syarikat dan terbaharu ke Ireland.

“Kita harap hujung tahun ini boleh sampai 500,000 (pengedaran al-Quran) Insya-Allah.

“Kita harapkan al-Quran akan jadi sumber rujukan untuk masyarakat bukan Islam di Ireland dengan harapan mereka lebih memahami agama Islam,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan 300 naskhah al-Quran terjemahan bahasa Inggeris kepada Duta Besar Malaysia ke Ireland Wan Aznainizam Yusri Wan Abdul Rashid di sini, pada Selasa.

Dalam program itu, Mohd Na’im yang turut menyampaikan sumbangan 100 buku terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) antaranya Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman versi Bahasa Inggeris dan Masjid Putra Putrajaya – A Sense Of History and Beauty.

Pada 15 September lepas, Anwar berkata, usaha pengedaran al-Quran yang dilakukan Malaysia ketika ini adalah gagasan penting kepada penghayatan Islam selain memartabatkan umat dan negara.

Mohd Na’im juga berharap lebih ramai duta besar Malaysia di luar negara tampil untuk melakukan inisiatif pengedaran al-Quran di tempat bertugas masing-masing kerana ia merupakan usaha untuk membendung Islamofobia.

Sementara itu, Wan Aznainizam dalam ucapannya berkata, pengedaran al-Quran dan buku terbitan Jakim akan dapat menangkis persepsi negatif terhadap Islam di Ireland. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *