KUALA LUMPUR: Perkembangan industri halal di negara ini yang turut diiktiraf dunia berjaya membuka 25,000 peluang pekerjaan baharu terutama bagi pengaudit halal.
Pada masa ini beberapa universiti tempatan dan pusat pengajian tinggi yang menawarkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sedang menawarkan kursus dalam bidang industri halal yang akan melahirkan tenaga kerja profesional diperlukan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), pemadanan lulusan dalam bidang berkaitan halal dilaksanakan dan mereka akan memasuki pasaran pekerjaan bersesuaian.
“Insya- Allah, menerusi kerjasama strategik dengan JAKIM, kita akan meningkatkan taraf makmal yang ada dan melahirkan lebih ramai pakar yang komited mengeluarkan sijil halal.
“Malah, TVET yang saya ketuai akan menghasilkan lulusan pengauditan halal dan pengamal penasihat halal menerusi institusi TVET dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) serta beberapa universiti lain yang akan menghasilkan 25,000 peluang pekerjaan baharu,” katanya berucap pada Program Halal On Track di Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Hanifah Hajar Taib.
Halal on Track hasil cetusan idea Ahmad Zahid ketika merasmikan Halal Sectoral Forum sebagai usaha membantu pemain industri di Malaysia supaya memahami dengan lebih mendalam berkaitan proses permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), bermula daripada peringkat persediaan (pra pensijilan) hingga kepada pengeluaran SPHM.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan komited dan yakin industri halal akan terus berkembang pesat yang mana orang Islam dan bukan Islam di negara ini bersama-sama membangunkannya.
Katanya, Malaysia satu masa dulu diiktiraf sebagai pengeluar pensijillan halal dunia dan ia perlu dikekalkan kerana industri mempunyai potensi besar dengan nilai AS$1 trilion (RM4.73 trilion).
“Industri halal adalah produk dan perkhidmatan yang perlu kita pertahankan.
“Jangan kita membenarkan negara lain yang umat Islamnya hanya minoriti, yang mana mereka pernah belajar mengenai pengeluaran pensijilan halal daripada kita, akhirnya mengatasi dan mendahului kita,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Malaysia berkata, Malaysia perlu terus menjadi nakhoda untuk pengeluaran produk dan perkhidmatan halal dunia.
Untuk itu, katanya, pada Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan banyak inisiatif berkaitan industri halal.
Sementara itu, ditemui media selepas majlis itu, Ahmad Zahid berkata, wujud persepsi salah terhadap JAKIM berhubung pensijillan halal berikutan ramai kurang faham proses pengeluarannya.
Katanya, kebanyakan rungutan membabitkan kelewatan pengeluaran sijil halal yang didakwa mengambil masa enam bulan hingga dua tahun.
“Perkara ini mendapat respon baik daripada JAKIM dan kini mereka menambah baik proses pengeluaran dengan memendek masanya sehingga 23 hari bekerja.
“Pada masa sama, saya juga tekankan walaupun proses singkat, kita tidak berkompromi mengenai piawaian dan kualiti sijil dikeluarkan,” katanya.
KOMEN