BERIKUT adalah kenyataan bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Peningkatan Kebencian, Sikap Tidak Bertoleransi, Diskriminasi dan Tindakan Keganasan Terhadap Umat Islam serta kesucian agama mereka.
Kami, Pemimpin Turkiye dan Malaysia:
● Selepas bertemu di New York pada 20 September 2023 pada sampingan Segmen Peringkat Tinggi Sesi Ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),
● Menzahirkan dengan penuh kebimbangan mengenai trend peningkatan kebencian, sikap tidak bertoleransi, diskriminasi dan tindakan keganasan terhadap umat Islam dan kesucian agama mereka yang mencapai tahap membimbangkan di banyak bahagian di dunia, terutama di Eropah,
● Menggariskan dengan kebimbangan mengenai kemunculan bentuk perkauman baharu yang bercirikan xenofobia, profil negatif dan stereotaip terhadap umat Islam,
● Mengambil kira mesyuarat penyelarasan tahunan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang akan diadakan di sini, di New York pada 21 September 2023 untuk membincangkan pembanteras pembakaran naskhah al-Quran,
● Mengalu-alukan penerimaan Resolusi Perhimpunan Agung PBB 76/254 untuk mengisytiharkan 15 Mac sebagai ‘Hari Antarabangsa untuk memerangi Islamofobia’, yang menekankan bahawa keganasan dan ekstremisme ganas tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana agama, kewarganegaraan, tamadun atau kumpulan etnik,
● Mengalu-alukan perbahasan segera ketika Sesi ke-53 Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk membincangkan peningkatan yang membimbangkan dalam tindakan kebencian agama yang dirancang dan dilakukan secara terbuka seperti yang ditunjukkan dalam penghinaan berulang terhadap al-Quran serta penerimaan resolusi HRC yang mentakrifkan pembakaran kitab suci sebagai kebencian agama,
● Mengalu-alukan Resolusi Perhimpunan Agung PBB 77/318 mengenai Menggalakkan Dialog Antara Agama dan Budaya serta Toleransi dalam Melawan Ucapan Kebencian, yang diterima pakai pada 25 Julai 2023, yang amat mengecam semua tindakan keganasan terhadap orang berdasarkan agama atau kepercayaan mereka, serta apa-apa perbuatan sedemikian yang ditujukan terhadap simbol agama, kitab suci, tempat ibadat, tapak keagamaan dan tempat suci mereka yang melanggar undang-undang antarabangsa,
● Melihat semula resolusi yang diterima pakai ketika Sidang Luar Biasa ke-18 Majlis Menteri Luar OIC pada 31 Julai 2023, yang menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan kempen memburukkan Islam, serta menghasut tindakan keganasan, xenofobia, dan berkaitan sikap tidak bertoleransi terhadap simbol agama Islam,
● Menggariskan bahawa tindakan kebencian agama, perkauman, diskriminasi dan xenofobia sedemikian menimbulkan ancaman kepada keamanan serta menghasut budaya keganasan;
● Mengutuk sekeras-kerasnya insiden pembakaran naskhah al-Quran baru-baru ini, yang disaksikan di beberapa negara Eropah, dengan berselindung di bawah kebebasan bersuara, serta wacana populis yang menghasut penderaan, ucapan kebencian dan pencerobohan terhadap Islam dan umat Islam;
● Mengesahkan semula peranan penting komitmen politik di peringkat tertinggi untuk pelaksanaan penuh dan berkesan bagi Resolusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB 16/18 dan menggalakkan negara memberi perhatian khusus kepada kepentingan menjenayahkan hasutan kepada keganasan, berdasarkan agama atau kepercayaan dan untuk mengambil langkah segera memastikan kebertanggungjawaban;
● Mengulangi gesaan dalam Resolusi 76/254 PBB untuk memperkukuh usaha antarabangsa bagi memupuk dialog global mengenai menggalakkan budaya toleransi dan keamanan berdasarkan penghormatan terhadap hak asasi manusia dan untuk kepelbagaian agama serta kepercayaan;
● Menyeru semua pihak berkepentingan yang berkaitan, termasuk kerajaan untuk meningkatkan usaha menangani diskriminasi, xenofobia, perkauman dan ucapan kebencian selaras dengan hak asasi manusia antarabangsa.
KOMEN