Home » Langit Terbuka » Jangan berdiam diri terhadap gangguan seksual, sama ada terang-terangan atau jenaka

Jangan berdiam diri terhadap gangguan seksual, sama ada terang-terangan atau jenaka

Aiman Athirah Sabu (tengah) bergambar bersama wakil jabatan selepas penyerahan Notis Antigangguan Seksual (AGS) pada di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam. Foto FAIZUL AZLAN RAZAK

Kuala Terengganu: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mahu memastikan tiada ruang langsung diberikan kepada pelaku gangguan seksual, sama ada secara terang-terangan atau jenaka.

Timbalan Menterinya, Aiman Athirah Sabu berkata, pihaknya memandang serius dan mahu membendung gangguan seksual yang berlaku terutama dalam talian.

Beliau berkata, walaupun masalah ini bukan perkara mudah ditangani, namun sangat penting dan mustahak untuk mangsa tidak berdiam diri.

“Salah satu cabaran dalam menangani gangguan seksual ialah apabila terdapat sesetengah pelaku mungkin menganggap tindakan mereka sebagai jenaka yang tidak berbahaya atau salah faham.

“Ingin saya tekankan di sini, seharusnya tiada ruang langsung diberikan kepada gangguan seksual, sama ada secara terang-terangan atau jenaka dan mangsa perlu bertindak awal dengan membuat laporan segera kepada pihak berwajib dan tidak membiarkan perkara ini berpanjangan.

“Isu ini sangat serius dan sebab itu kita menguar-uarkan dan teruskan perbincangan isu gangguan seksual serta isu jenayah intip dan hendap atau ‘stalking’ adalah satu kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini.

Aiman Athirah berkata, kesan kepada mangsa tidak terhad pada gangguan mental saja dan mendorong kepada jenayah seksual yang lebih serius.

Beliau berkata, jumlah kes gangguan seksual yang dilaporkan meningkat dari 378 kes pada 2020 dan seterusnya meningkat kepada 506 kes pada 2021.

“Walau bagaimanapun, terdapat sedikit penurunan pada tahun 2022 iaitu kepada 477 kes dan jumlah kes yang dilaporkan ini membabitkan lelaki dan wanita.

“Namun, majoriti mangsa ialah kaum wanita iaitu sebanyak 354 kes pada 2020, 446 kes pada 2021 dan 416 kes pada 2022.

“Statistik ini menunjukkan bahawa setiap tahun lebih 90 peratus daripada kes gangguan seksual adalah membabitkan mangsa dalam kalangan kaum wanita,” katanya.

Aiman Athirah berkata, jenayah ini juga memberi kesan secara langsung terhadap mangsa dan membawa kepada kesan trauma dan ketakutan yang berpanjangan.

“Isu gangguan seksual harus ditangani dengan serius dan kita perlu sentiasa menambah baik undang-undang semasa agar sesuai dengan peredaran masa,” katanya.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *