Home » Langit Terbuka » ‘Tanggungjawab saya baiki ketidakfahaman orang Islam terhadap ajaran Islam’ – Anwar

‘Tanggungjawab saya baiki ketidakfahaman orang Islam terhadap ajaran Islam’ – Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Pelancaran Program Lestari Niaga @ Kuala Lumpur D’Medan Selera MADANI di Kompleks Tun Sambanthan hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan adalah menjadi tanggungjawab orang Islam termasuk dirinya sendiri untuk memperbaiki ketidakfahaman orang Islam terhadap ajaran agama itu.

Perdana Menteri berkata, dengan cara itu sahaja dapat mengekang orang Islam sendiri yang cuba memanipulasi serta mengeksploitasi agama Islam sehingga dilabel sebagai fanatik serta pelampau agama.

Beliau memberi contoh tanpa menamakan secara terperinci pihak mana dan siapa individu terbabit, menggunakan agama untuk menjatuhkan hukum terhadap mereka yang tidak sehaluan dengan parti dianuti.

“Kita nak hentikan polemik masih dibangkitkan. Kalau hari ini saya datang ke Little India, Datuk Bandar mengumumkan beberapa program untuk masyarakat India nanti ada pelampau ini (cakap), tengok Anwar jaga India sahaja, bukan jaga orang Melayu.

“Bila saya pergi cakap soal Melayu, termasuk teks (Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi) minta anak orang Islam baca hadis berkenaan, ada orang India kata tengok Anwar ini Islamis, dia nak menyebarluaskan Islam. Semua tak kena. Elemen ini memang ada dalam negara ini.

“Ada segelintir pihak yang memang agak rasis dan ada juga yang liberal yang cuba untuk menentu dan membina kefahaman dalam tadbir urus kita berdasarkan kefahaman mereka. Ini salah.

“Sebagai seorang Islam yang peka dengan isu agama dieksploitasi oleh pelampau dan fanatik Islam. Justeru, menjadi tugas kita untuk membetulkan kefahaman Islam kepada orang Islam itu sendiri supaya mereka dapat mendepani isu berkenaan.

“Ini tidak ada yang mendakwa bila anda menyertai parti saya, anda boleh masuk syurga. Kalau anda tak sertai parti saya, anda tak masuk syurga. Jika kita mendidik masyarakat Melayu bahawa ini adalah salah…jadi ini adalah tugas saya untuk menggalakkan murid beragama Islam untuk fahami agama mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Lestari Niaga@Kuala Lumpur di Medan Selera Madani Kompleks Tun Sambanthan di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh.

Dalam program itu, Anwar mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk tujuan naik taraf kemudahan niaga dan penjaja di seluruh ibu kota.

Mengulas lanjut pihak yang menggunakan naratif agama dan kaum untuk memecahbelahkan perpaduan negara ini, perdana menteri memberi amaran supaya tidak lagi menggunakan cara berkenaan.

Sebaiknya, beliau mengajar agar masing-masing membudayakan nilai bersederahana dan menghormati antara satu sama lain meskipun berbeza latar belakang.

Mengambil contoh polemik meletus ekoran pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah, beliau menegaskan tidak akan memohon maaf.

“Saya tidak mahu memohon maaf. Ya saya akan pastikan anak-anak Islam di Malaysia faham Islam, bersederhana, hormat satu sama lain, tidak hina semua orang berdasarkan warna kulit dan kaum serta merasakan setiap rakyat di negara ini, sebagai anggota keluarga besar kita termasuk menghormati dan memuliakan mereka.

“Orang yang duduk di sini empat, lima generasi jangan kita hina meeka dan ini tidak mengubah pendirian kita bahawa Malaysia tetapi terima bahasa Kebangsaan, tetap terima Islam sebagai Persekutuan, tetapi terima Raja-Raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu serta Bumiputera.

Ini bukan untuk menunjukkan ketegangan kerana saya sering tekankan hal ini. Kita mahu kerajaan yang bertolenransi dan kita mahu orang Melayu bertolak ansur.

“Tetapi kalau ada tindakan yang sedikit yang tidak sesuai, terus kita kecam dan anggap ini melanggar peraturan dan pemerintahan. Ini bukan caranya kita berkelakuan sebagai rakyat Malaysia yang sebenar,” katanya. -Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *