PUTRAJAYA: Umat Islam dinasihatkan untuk tidak terlibat serta menjauhi daripada sebarang penyebaran ajaran sesat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya telah menerima maklumat berkenaan video tular beberapa individu mengeluarkan kenyataan dan ungkapan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Katanya, mereka yang terlibat dipercayai pengikut ajaran yang dibawa oleh Suhaini Mohammad (Shai Ibnu Muhammad) atau SiHulk.
“Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-117 yang telah bersidang pada 25 hingga 29 Ogos 2020 memutuskan bahawa ajaran dan fahaman SiHulk sebagai sesat, menyeleweng daripada ajaran Islam berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Seperti yang sedia maklum, tindakan penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menyalurkan maklumat mengenai ajaran dan kegiatan kumpulan SiHulk kepada JAIN antaranya Jabatan Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Selangor untuk tindakan penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Na’im, JAKIM juga telah diarah untuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membanteras ajaran sesat ini.
Dalam masa yang sama, mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kumpulan ajaran sesat berkenaan untuk segera tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa terlibat.
“Individu yang didapati terlibat dalam kesalahan berhubung dengan kesucian agama Islam boleh dikenakan tindakan mengikut Akta/ Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri.
“JAKIM telah diarah untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri dan agensi berkaitan bagi mengadakan siri penerangan di seluruh negara berkaitan bahaya amalan dan kepercayaan yang bertentangan dengan akidah masyarakat.
“Kerjasama semua pihak dalam isu-isu seperti ini dapat membantu menanganinya dengan lebih berkesan seterusnya dapat menjaga akidat umat Islam dari terpersong terutama kesan daripada tularnya fahaman yang menyeleweng melalui media sosial,” katanya.—AlHijrah Online
KOMEN