Home » Citra Yadim » Wasatiyyah diterima di peringkat antarabangsa

Wasatiyyah diterima di peringkat antarabangsa

Simposium Sains Fikah Antarabangsa yang berlangsung di Muskat, Oman baru-baru ini mengambil kesepakatan bagi membangunkan konsep kesederhanaan atau wasatiyyah sebagai jambatan kehidupan bermasyarakat yang lebih makmur dan aman, kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd. Tahir.

Beliau yang mewakili Malaysia bersama wakil Persatuan Alumni Universiti-Universiti Asia Barat, Ismalil Abdul Halim ke simposium itu berkata, konsep wasatiyyah yang dipelopori oleh Malaysia sudah diterima di peringkat antarabangsa dan semakin luas dibincangkan oleh para ilmuan Islam.

“Dalam itu, sejumlah 75 kertas kerja dibentangkan oleh cendekiawan Islam bagi mencari satu formula mengatasi masalah kehidupan sejagat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Simposium itu disertai oleh lebih 100 ulama terkemuka dunia termasuk Sheikh Dr. Wahbah Mustaffa al-Zuhali dari Syria, Sheikh Dr. Shawki Ibrahim Allam (Mufti Mesir) serta intelektual dari Arab Saudi, Tunisia, Algeria, Sudan, Maghribi, Turki, Lubnan, Amerika Syarikat dan Oman.

“Negara-negara Arab misalnya semakin memahami perlunya mereka mengamalkan pendekatan wasatiyyah, termasuk hidup dalam aman dengan penganut agama lain kerana ia merupakan hakikat sebenar penciptaan manusia dengan kemajmukannya,” tegas beliau.

Menurut Dr. Aziz lagi, hampir semua cendekiawan yang hadir bersetuju jika pendekatan itu dilaksanakan sepenuhnya masalah perbalahan atau sengketa tidak akan berpanjangan.

“Meskipun simposium itu tidak menyebut Malaysia sebagai pengasas prinsip kesederhanaan, ia tetap membawa pengertian bahawa apa yang sedang dilaksanakan Malaysia di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tepat dan berkesan,” katanya.

Dr. Aziz berkata, para pembentang kertas kerja melihat, prinsip wasatiyyah adalah satu keperluan yang mendesak untuk dilaksanakan berdasarkan keadaan politik semasa negara-negara Islam.

Simposium turut menggariskan konsep kebebasan dan hak asasi dalam konteks hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam, kerjasama politik (maqasid siyasah) dan perkongsian kuasa.

Simposium empat hari yang dirasmikan oleh Menteri Hal Ehwal Luar Oman, Yousof Alawi dianggap tepat pada masanya bagi mencari kesepakatan menyelesaikan kemelut politik negara Islam.

Dr. Aziz juga sempat menemui Sheikh Wahbah Mustapha al-Zuhaili.

“Ulama itu menegaskan, umat Islam perlu kembali kepada prinsip wasatiyyah bagi mengelakkan pertelingkahan dalam kalangan umat Islam serta negara Islam menjadi lebih serius,“ katanya.

Sementara itu, dalam pertemuannya dengan Penasihat Menteri Agama Oman, Shaeik Ziyad Talib al-Maawali, negara itu mempelawa pelajar-pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di Institut Mahaad Ulum Syariah Di Muskat.

Artikel Penuh: https://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130415/dn_13/Wasatiyyah–diterima-di-peringkat-antarabangsa#ixzz2SkudVnL0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *