Home » Kenyataan Media » Misi Bantuan Banjir Pelbagai Inisiatif Digerakkan, YADIM Sasar Sumbangan RM500,000

Misi Bantuan Banjir Pelbagai Inisiatif Digerakkan, YADIM Sasar Sumbangan RM500,000

PUTRAJAYA – Sebagai peneraju gerakan dakwah di negara ini, YADIM mensasarkan untuk mendapatkan RM500,000 bagi disalurkan kepada mangsa banjir seluruh negara.

Sejumlah RM250,000 telah diperolehi pada masa ini hasil sumbangan individu, korporat, institusi berkaitan dan peruntukan dalaman.

Peruntukan ini akan digunakan bagi menyalurkan bantuan dalam pelbagai inisiatif seperti bekalan keperluan harian, lampin pakai buang, tuala wanita, kit kebersihan, peralatan pembersihan dan sebagainya.

Tidak terhad kepada fizikal, pendekatan kerohanian dan kemudahan menunaikan solat juga disediakan di Pusat Pemindahan Sementara terpilih.

Dengan pengoperasian Bilik Gerakan Banjir sejak November, mangsa banjir di Terengganu, Kelantan, Selangor dan Perak umpamanya telah pun disantuni menerusi pemberian makanan sedia di makan (MRE), barangan keperluan harian dan sebagainya sebelum ini.

Menyedari situasi banjir yang semakin kritikal di Kelantan dan Terengganu, pada 22 hingga 25 Disember ini, YADIM akan mengadakan Misi Bantuan Banjir Pantai Timur dari Putrajaya untuk menyampaikan sumbangan 1,000 beg pelbagai makanan, lampin pakai buang, tuala wanita, kit kebersihan dan selimut tebal. Turut diselitkan dalam misi ini ialah pengisian kerohanian untuk mangsa mangsa banjir.

Selain itu, seramai 10,000 sukarelawan YADIM di seluruh negara juga sedia digerakkan untuk membantu mangsa mangsa banjir ini. Mereka sedia digerakkan daripada negeri lain yang tidak berdepan banjir, ke kawasan bencana, sama seperti tahun tahun sebelum ini.

Selain daripada khidmat bakti semasa dan pasca banjir, Sukarelawan YADIM juga terlibat dengan penyediaan dan pengagihan makanan menerusi inisiatif Dapur Rakyat YADIM.

Hingga kini, sembilan Dapur Rakyat telah beroperasi di Terengganu iaitu di Besut, Setiu, Kuala Terengganu (2), Kuala Nerus (2), Dungun, Hulu Terengganu dan Marang dengan kapasiti hampir 1,000 pek makanan diagihkan setiap hari.

Terkait pasca banjir kelak, program seperti Cuci Cuci dan baik pulih masjid, surau serta kediaman golongan kurang bernasib baik juga bakal dilaksanakan.

Justeru bagi mencapai sasaran kutipan, YADIM menyeru orang ramai untuk menyumbang kepada usaha menyantuni mangsa banjir di seluruh negara. Sebarang bantuan boleh disumbangkan kepada akaun 5660 1062 5428 (Maybank).

Maklumat lanjut untuk menyumbang juga boleh didapati dengan melayari Facebook dan laman web rasmi YADIM.

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF YADIM, TUAN KAMARUL ARIEF TUAN SOH

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *