Georgetown – Mutawif dan bakal jemaah umrah di negeri ini memberi reaksi berbeza mengenai peraturan baharu Kerajaan Arab Saudi berhubung ujian tindak balas rantai polimerase transkripsi balikan (PCR) yang wajib dilaksanakan dalam masa 48 jam sebelum berlepas ke negara terbabit.
Masing-masing meluahkan kelegaan mengenai penetapan arahan baharu itu di samping ada yang masih dibelenggu kebimbangan untuk melaksanakan ibadah umrah dalam keadaan kes harian jangkitan Covid-19 yang semakin mencanak.
Mutawif dari syarikat pengendali pakej umrah, Andalusia Travel & Tours, Wan Mohd. Taufik Wan Marzuki, 31, berkata, peraturan baharu itu adalah langkah terbaik buat bakal jemaah umrah dari negara ini melaksanakan ibadah tersebut kali ini.
Katanya, keperluan pengambilan dos penggalak yang dikuatkuasakan kerajaan sebelum ini disifatkan sebagai ‘jalan selamat’ untuk para jemaah menjejakkan kaki ke Mekah dan Madinah.
“Ini adalah keputusan yang masuk akal. Sebelum ini, para jemaah perlu menjalani ujian PCR dalam tempoh 72 jam iaitu empat hari sebelum berlepas yang mana jarak masa itu agak lama.
“Arahan baharu yang hanya mewajibkan keputusan PCR dalam tempoh 48 jam ini memang tidak membebankan berbanding 72 jam yang dikuatkuasakan pada Oktober tahun lalu.
“Namun, yang bebannya apabila jemaah sudah jalani PCR 48 jam, keluar pula keputusan positif Covid-19. Itu yang lebih kasihan kerana mereka terpaksa tangguh lagi ibadah umrah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Justeru, beliau menasihati bakal jemaah umrah di negara ini supaya tidak berada di tempat tumpuan ramai termasuk menghadiri majlis kenduri atau ke pasar malam sebelum atau selepas 48 jam menjalani ujian PCR.
“Kebarangkalian untuk dijangkiti virus tersebut agak tinggi sekiranya jemaah gagal mengambil langkah-langkah pencegahan awal sebelum tibanya tarikh keberangkatan mereka,” tambahnya.
Sementara itu, seorang lagi bakal jemaah umrah, Rashid Ahmad, 45, memberitahu, ia adalah keputusan yang ditunggu-tunggu berikutan kebimbangan sekiranya berlaku perkara tidak diingini sebelum kurang empat hari berangkat.
“Kurang sikit perasan takut kami untuk menunaikan ibadah itu dalam keadaan varian virus baharu Covid-19 yang makin mengganas.
“Pelbagai perasaan bermain di minda bimbang disahkan positif covid apabila tibanya waktu penerbangan atau sebaik menjejak kaki di Tanah Suci,” ujarnya. – Utusan Online
KOMEN