Home » Langit Terbuka » Adam Corrie diugut akibat aktif berdakwah

Adam Corrie diugut akibat aktif berdakwah

Kegiatan mengislamkan saudara baharu oleh Adam sudah lama dilakukannya selepas memeluk Islam, namun, enggan menghebahkannya kegiatan dakwahnya itu berikutan bimbang dianggap riak. - Arkib YADIM

KUALA LUMPUR – Biarpun diugut diugut gara-gara aktif berdakwah dalam komuniti bukan Islam, pelakon, Adam Corrie Lee Abdullah tidak pernah terdetik mahu mengibar bendera putih tanda menyerah kalah.

 

Adam yang memeluk Islam sejak 2007 mendedahkan, selain ugutan, dia pernah diancam pihak yang didakwa cuba memesongkan akidah. Namun, Adam tidak melayan mesej langsung (DM) yang dilayangkan kepadanya.

 

“Saya tidak pandai berdebat… Biasanya, tujuan mereka hanyalah untuk berdebat. Mereka biasanya sudah bersedia untuk ‘menembak’ saya dengan pelbagai soalan.

 

“Jika saya terus melayan ugutan yang diterima melalui DM, perkara itu tidak akan habis.

 

“Jadi, berdiam diri adalah jalan terbaik. Lagipun, saya bukanlah orang tepat untuk diajak berdebat… Saya memang tidak pandai berdebat.

 

“Maka, carilah orang yang lebih layak seperti Ustaz Zakir Naik,” katanya.

 

Adam yang sering membawa watak samseng dalam filem seperti KL Gangster, Evolusi KL Drift, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, mengaku penat melayani ugutan daripada pihak yang tidak berpuas hati dengan jalan dakwahnya.

 

Apatah lagi, semuanya dilalui sendiri. Namun, setiap kali lelah dan marah, Adam mengambil tempoh bertenang dengan berjumpa ustaz atau guru agama untuk mendapatkan motivasi.

 

“Apabila melakukan kerja-kerja mengislamkan orang, saya sentiasa sedia berdepan pelbagai jenis orang yang tidak berpuas hati dengan kerja saya.

 

“Ada kalanya, saya mengaku lelah dan marah kerana terpaksa menghadapi semua ini sendirian.

 

“Bagi meredakan kemarahan dan rasa putus asa, saya jumpa guru agama atau ustaz. Biasanya perasaan saya akan okay selepas duduk berbual dengan mereka.

 

“Biasalah, manusia tidak boleh tengok orang senang. Ada sahaja cara mereka untuk menumbangkan kita,” katanya yang setakat ini mengislamkan 20 saudara baharu.

 

Adam berkata, kegiatan mengislamkan saudara baharu sudah lama dilakukan selepas memeluk Islam. Namun, Adam enggan menghebahkan kegiatan dakwahnya berikutan bimbang dianggap riak.

 

Tambahnya, ramai dalam kalangan individu yang berminat memeluk Islam menghubunginya melalui media sosial.

 

Bagaimanapun, ada antara mereka masih ragu-ragu dengan keputusan itu kerana bimbang dibuang keluarga dan rakan-rakan.

 

“Sebenarnya, banyak kali saya berdepan mereka yang was-was memeluk Islam. Mereka berminat tetapi bimbang dibuang keluarga atau dipulau rakan-rakan.

 

“Selalunya, saya menasihati mereka yang berada dalam dilema agar ambil masa. Apabila sudah benar-benar bersedia, barulah kita teruskan dengan proses pengislaman.

 

“Mereka bimbang dibuang keluarga hingga keistimewaan yang diperoleh daripada keluarga terutama berkaitan kewangan ditarik balik.

 

“Ini adalah ujian biasa bagi kebanyakan mualaf. Sebenarnya, Allah sengaja berikan ujian sedemikian untuk melihat sejauh mana kesabaran mereka.

 

“Apabila berdepan situasi seperti itu, saya menasihatkan saudara baharu agar menuntut ilmu fardhu ain dan buktikan kepada keluarga mereka dengan menunjukkan akhlak baik,” katanya.

 

Adam mengaku ada keluarga yang mengambil tempoh lama seperti 10 tahun untuk menerima saudara baharu sebagai keluarga.

 

“Seorang wanita mualaf pernah mengadu, biarpun sudah berkahwin selama 15 tahun, ibu mentua masih tidak boleh menerima dirinya sebagai menantu.

 

“Apa saja yang dia lakukan, semuanya nampak salah di mata ibu mentua. Malah, ibu mentua enggan menikmati makanan dimasak kerana menganggap air tangannya haram.

 

“Tetapi dia tabah menghadapi ujian kerana sayangkan suami dan anak-anak demi Islam.

 

“Bagi saya, tindakan ibu mentua itu tidak wajar. Namun, wanita itu bersabar kerana menganggap itu adalah ujian yang Allah ingin beri kepadanya,” katanya.

 

Tambah Adam, ada kes di mana individu mualaf tidak sabar dengan ujian lalu mengambil keputusan untuk keluar daripada Islam.

 

Namun, Adam berkata, dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana mereka biasanya tidak lagi berhubung selepas berjaya diislamkan.

 

“Kebanyakan daripada mereka murtad disebabkan dua perkara. Pertama, mereka tidak boleh terima ujian dan takut dibuang keluarga serta rakan.

 

“Nasihat saya kepada insan begini, pada peringkat permulaan, ujian dan dugaan adalah perkara biasa.

 

“Situasi sama seperti kita ingin mengurat wanita, bukan terus dapat. Perlu ambil masa untuk dia terima dan suka kita.

 

“Begitulah juga keluarga kita, sebab itulah saya kata, kita perlu tunjukkan akhlak baik agar keluarga terbuka hati untuk terima kita,” katanya.

 

Adam berkata, ada mualaf memeluk Islam kerana hendak berkahwin.

 

“Hendak masuk Islam untuk berkahwin tidak salah. Cuma apabila niat peluk Islam disebabkan hendak berkahwin dan tidak lebih daripada itu, dia tidak akan pergi mencari ilmu atau belajar.

 

“Biasanya orang seperti ini susah dipujuk kerana tidak tahu apa niat sebenar mereka,” katanya. – Berita Harian.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *