YAN – Apabila Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melancarkan TeleBantuan YADIM baru baru ini, YADIM Kedah menerima banyak permohonan daripada pelbagai pihak untuk membantu mereka yang memerlukan.
Bertindak balas daripada permohonan tersebut, YADIM Kedah pada 10 Julai menyampaikan bantuan kepada 10 pemohon di daerah ini. Mereka ini ialah antara yang membuat permohonan pada minggu ini.
Ia mendapat kerjasama rakan badan bukan kerajaan Muslim Care Malaysia, Surau Al Muhsinin Petronas KLCC dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Yan.
Pada masa yang sama, YADIM Kedah juga menyampaikan sumbangan kepada 60 lagi keluarga yang memerlukan dari beberapa kampung di daerah ini.
Penerima terdiri daripada golongan B40, ibu tunggal, terputus bekalan makanan dan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan.
Mereka merupakan penduduk Kampung Perupok,Kampung Pematang Cenggai, Kampung Bukit Belida, Kampung Raga, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Kampung Pantai Murni, Kampung Ruat, Singkir Laut, Kampung Singkir Genting, Kampung Singkir Paya, Kampung Singkir Darat, Kampung Singkir Badong dan Kampung Kedai Keling.
Hadir ke program ini ialah Pengarah YADIM Kedah, Ustaz Mohd Aizat bin Zakaria, Pengerusi Surau Al Muhsinin Petronas KLCC, Ustaz Nur Hakimi Barudi, Bendahari Muslim Care Malaysia, Ustaz Ahmad Syukri Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung Perupok, Haji Rozi Zainol.
Turut sama ialah Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung Ruat, Rosli Abbas, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung Singkir Darat, Yusuf Chin dan anggota Angkatan Pertahanan Awam yang mewakili PKOB Daerah Yan.
KOMEN