KUANTAN – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Pahang telah dihubungi oleh warga Felda Bukit Sagu 1 di sini berkaitan seorang kanak-kanak pengidap Severe Laryngomalacia yang memerlukan tiub baru untuk kegunaannya.
Ia kerana tiub yang kini digunakannya sudah lama tidak ditukar sehingga menyebabkan mulutnya mula berbau.
Severe Laryngomalacia mengakibatkan pengidapnya bernafas dengan bunyi yang kuat, selain kemungkinan terbantut tumbesaran akibat masalah untuk makan.
Adik Syasya Anaura Mohammad Syah yang berusia 3 tahun ini adalah anak kedua daripada dua beradik yang tinggalbersama ibunya, seorang ibu tunggal di rumah peninggalan datuk dan nenek mereka di Felda Bukit Sagu di sini.
Ibunya yang sebelum ini berniaga alat kosmetik kecil-kecilan secara dalam talian, kini tidak lagi dapat meneruskan jualan kerana tiada pelanggan ketika Perintah Kawalan Pergerakan.
Beliau sukar keluar bekerja kerana perlu menjaga Syasya Anaura.
Bagi meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga ini, YADIM Pahang menyampaikan sumbangan Tiub Tracheostomy baharu (bagi kegunaan dengan kaedah tebukan di leher) bernilai RM450 disamping lapan pek susu dan empat beg lampin pakai buang untuk kegunaan sebulan.
Sumbangan ini disampaikan oleh Pengarah YADIM Pahang Ustaz Mohamad Hazmi Dibok di kediaman mereka pada 2 Julai di sini.
KOMEN