KOTA BHARU – Di sebalik pelitup mukanya, terpancar kegembiraan di wajah Izham Ibrahim, 46 tahun sebaik warga Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Kelantan tiba di kediamannya di Kampung Paya Rambai di sini.
Lebih gembira lagi apabila hajatnya untuk memiliki kerusi roda baharu untuk digunakannya menjadi kenyataan. Ayah kepada tiga anak ini diserang angin ahmar ketika bekerja dan sejak itu terpaksa menggunakan kerusi roda bagi bergerak.
Sekian lama menggunakan kerusi tersebut, ia akhirnya lusuh dan menjadikannya sukar digunakan.
Izham kemudiannya menghubungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dan memohon bantuan beliau mendapatkan kerusi roda baharu dan sedikit persiapan Aidilfitri.
Pantas dan prihatin dengan kesukaran dihadapi lelaki ini. Datuk Dr Zulkifli meminta YADIM menyantuni Izham.
YADIM Kelantan, diketuai pengarahnya, Ustaz Haji Mahadi Awang kemudian segera bertindak dan pada 11 Mei menziarahi Izham yang kini tinggal bersama ayahnya.
Sebuah kerusi roda baharu disampaikan selain barangan keperluan harian dan wang tunai yang kesemuanya berjumlah RM1,000.
Ini bukan kali pertama YADIM Kelantan bertindak serta merta selepas mendapat makluman mengenai kesukaran masyarakat.
Sebelum ini pada 26 Januari, sepasang suami isteri warga emas dari Ketereh disantuni YADIM Kelantan sebaik kisahnya tular di media sosial dan mendapat perhatian Datuk Dr Zulkifli.
KOMEN