PUTRAJAYA – Kebenaran untuk mengadakan solat Sunat Hari Raya Aidilfitri di Wilayah Persekutuan akan dimaklumkan dalam masa terdekat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, pihaknya akan membuat kenyataan rasmi dan sidang media selepas mendapat perkenan baginda.
“Untuk Wilayah Persekutuan kita telah mengangkat permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan baginda bagaimana masjid dan surau-surau Jumaat dibenarkan menunaikan solat sunat Aidilfitri.
“Sebaik sahaja mendapat perkenan baginda, Jawi akan mengadakan sidang media rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada majlis Program Kembara Al-Amin Nuzul Al-Quran yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Surau Putra Al-Amin, Presint 8, Putrajaya.
Menurutnya, di peringkat kebangsaan pengumuman akan dibuat oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Mohd Ajib berkata, Jawi menjunjung kasih di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong yang membenarkan solat Jumaat dan tarawih sempena bulan Ramadan tahun ini.
“Kami bersyukur dan ia membuktikan keprihatinan Tuanku terhadap penduduk di Wilayah Persekutuan untuk melaksanakan ibadah mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
KOMEN