Home » Langit Terbuka » Media Prima teroka kerjasama animasi, digital unsur keagamaan

Media Prima teroka kerjasama animasi, digital unsur keagamaan

Delegasi Media Prima ketika mengadakan kunjung hormat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). - Foto FB

PUTRAJAYA – Media Prima Berhad (MPB) merancang kerjasama dalam rancangan animasi dan pembangunan digital dengan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Dr Syed Hussian Aljunid, ketika mengumumkan perkara itu berkata, kesepakatan berhubung kerjasama strategik berkenaan akan diperhalusi bersama 14 agensi berkaitan.

Menerusi pendekatan itu, beliau menaruh keyakinan penyiaran segmen animasi yang menyajikan pengisian berbentuk keagamaan untuk tontonan kanak-kanak di saluran digital dan rangkaian televisyen MPB berupaya ditambah baik.

“Alhamdulillah, kita sudah perkenalkan rancangan keagamaan yang kita ada dan antaranya ialah animasi sedang dibuat dan ia mendapat sambutan daripada menteri.

“Insya-Allah kita akan adakan perbincangan selanjutnya berhubung penyelarasan kerjasama yang kita bincangkan hari ini.

“Insya-Allah dalam tempoh terdekat, perjumpaan dengan Unit Komunikasi Korporat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan diadakan, kemungkinan dalam Ramadan,” katanya di sini, pada 26 Mac.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al Bakri, di sini.

Pertemuan yang berlangsung lebih dua jam itu turut dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood dan Pengarah Eksekutifnya, Rafiq Razali.

Hasil perbincangan awal, Syed Hussian berkata, pejabat menteri hal ehwal agama berminat dengan rancangan keagamaan Alif dan Sofia terbitan Primeworks Studios dan Blindspot Studios, yang mula ditayangkan pada 28 Februari tahun lalu.

“Ada kerjasama lain yang boleh diteroka. Kita ada pelbagai, sekarang kita sedang jalankan Jejak Rasul tetapi disebabkan COVID-19, kita tidak dapat keluar jadi kita buat dalam negara.

“Apabila bila bincang berhubung animasi, ia antara ruang baharu yang dapat diteroka menerusi usaha merintis kerjasama dengan agensi kerajaan.

“Ketika kita kongsikan video Alif dan Sofia, menteri (Zulkifli) berminat, jadi ini platform yang boleh kita usahakan. Tayangan menerusi platform digital juga berupaya meraih tontonan sekitar 15 hingga 16 juta orang setiap bulan.

“Ini antara ruang kerjasama baharu untuk diteroka antara MPB dan agensi kerajaan berkaitan,” katanya.

Menyentuh kerjasama mengenai pembangunan kandungan digital, Syed Hussian berkata, perbincangan dan kerjasama lanjut mungkin membabitkan perihal zakat.

Berteraskan kemampuan pelbagai platform, beliau berkata, MPB berupaya menyalurkan segenap bantuan bagi memacu usaha berkaitan zakat yang diterajui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Sementara itu, Zulkifli berkata segala pelan kerjasama yang dikemukakan MPB akan dimuktamadkan selepas perbincangan secara lanjut dengan 14 agensi berkaitan.

“Saya yakin banyak ruang berdasarkan suasana semasa untuk sama-sama kita berkolaborasi. Mungkin kita bawa satu perkara yang beri impak tinggi kepada masyarakat.

“Semoga usaha baik ini terus mendapat keberkatan dan demi maslahat umat Islam,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *