Home » Langit Terbuka » Umat Islam dilarang sertai aplikasi Sugarbook

Umat Islam dilarang sertai aplikasi Sugarbook

Mufti Wilayah Persekutuan berkata, aktiviti dijalankan SugarBook jelas bercanggah dengan norma masyarakat negara ini yang sentiasa memelihara tatasusila serta kesopanan dalam aspek pergaulan antara lelaki dengan wanita.

PUTRAJAYA – Umat Islam diingatkan untuk tidak menggunakan aplikasi Sugarbook berikutan sebarang perbuatan yang boleh mendorong kepada berlakunya perzinaan adalah jelas dilarang mengikut hukum syarak.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, pihaknya mengambil inisiatif untuk tampil memberikan nasihat serta panduan hukum syarak kepada masyarakat umum, khususnya umat Islam di negara ini berkenaan isu aplikasi Sugarbook yang tular ketika ini.

Menurut beliau, larangan itu berdasarkan kepada dalil-dalil seperti yang terdapat dalam firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat ke-32 yang bermaksud ‘Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)’.

Katanya, Rasulullah SAW juga menjelaskan dengan lebih mendalam berkenaan perbuatan menghampiri zina menerusi sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukari dan Muslim yang bermaksud ‘Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya’.

“Sejajar dengan itu, larangan ke atas umat Islam daripada menyertai aplikasi Sugarbook ataupun mana-mana aplikasi lain yang berkaitan dengannya adalah selaras dengan prinsip Sadd al-Dzara’i iaitu penutupan pintu-pintu yang boleh membawa kepada perbuatan yang haram di sisi Islam,” katanya melalui satu kenyataan media di sini, pada 16 Februari.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sugarbook Darren Chan sebelum ini mendakwa aplikasi itu disertai seramai 14,000 pelajar universiti di Malaysia yang menjadi Sugar Baby.

Bilangannya semakin meningkat disebabkan kesukaran hidup pelajar universiti sejak kemunculan pandemik Covid-19 dan pada Januari 2021 bilangan pelajar universiti di Malaysia yang menjadi Sugar Baby meningkat sebanyak 40 peratus.

Dr Luqman berkata, aktiviti itu juga jelas bercanggah dengan norma masyarakat negara ini yang sentiasa memelihara tatasusila serta kesopanan dalam aspek pergaulan antara lelaki dengan wanita.

Katanya, pihaknya ingin menasihatkan kepada ‘Sugar Daddy’ dan ‘Sugar Baby’ serta mana-mana umat Islam yang terbabit dengan aktiviti ini agar segera bertaubat kepada Allah SWT dan berazam untuk meninggalkan perbuatan yang tidak bermoral ini.

“Ketika mengharungi musibah Covid-19 ini janganlah kita terpedaya dengan tipu daya syaitan yang sentiasa mendorong manusia ke arah kemungkaran, sebaliknya marilah kita bermuhasabah dan menginsafi serta mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan amal ibadah dan amal soleh.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *