Home » Langit Terbuka » Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah tunggu lampu hijau MAIWP

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah tunggu lampu hijau MAIWP

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar tiga tahun lalu. - Foto FMT

KUALA LUMPUR – Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di sini, yang terbakar dan mengorbankan 23 individu hampir tiga tahun lalu, dikosongkan sehingga mendapat arahan lanjut Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Pengetuanya, Mohd Zahid Mahmood, berkata ketika ini, pihaknya menunggu lampu hijau daripada MAIWP untuk membaiki dan menaik taraf bangunan itu.

“Saya pun kena selesaikan beberapa isu lagi seperti tuntutan saman daripada ibu bapa mangsa, selepas itu baru boleh fikir mengenai bangunan berkenaan.

“Kita ada satu lagi pusat tahfiz baharu berdekatan. Sekarang ini ada 20 pelajar ditempatkan di situ.

“Kami memperoleh kebenaran operasi daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengikut syarat ditetapkan Kementerian Kesihatan berikutan situasi COVID-19,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat pentadbiran tahfiz itu, di sini.

Semalam, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong ke atas seorang remaja berusia 19 tahun, selepas didapati salah membunuh 23 mangsa dalam kebakaran di pusat tahfiz itu.

Ditanya mengenai perkembangan itu, Mohd Zahid berkata keputusan itu mengesahkan kebakaran berlaku bukan kerana kecuaian pihak tahfiz seperti didakwa segelintir pihak, sebaliknya perbuatan khianat.

“Saya mewakili pusat tahfiz bersyukur kepada Allah (atas keputusan dibuat mahkamah) dan kami terima dengan hati tenang serta terbuka. Insiden itu ujian amat besar diberikan kepada kami.

“Siapa mahu perkara sebegini berlaku, cedera sikit pun kita tidak mahu apatah lagi insiden kebakaran mengorbankan 23 orang. Ia sudah diputuskan dan ini ketentuan Allah.

“Kita doakan supaya remaja itu diberi kebaikan dunia dan akhirat. Sebagai umat Islam, kita sudah tentu mahu melihat remaja berkenaan menjadi insan berguna kepada masyarakat dan agama pada masa depan,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Zahid yang juga Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan berkata, pihaknya mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, minggu lalu untuk mencadangkan penubuhan Majlis Belia Tahfiz di seluruh negara.

“Cadangan itu diterima baik menteri. Kita masih dalam peringkat pelaksanaan membabitkan perkara itu.

“Dengan adanya majlis belia ini, pelajar tahfiz yang rata-ratanya golongan muda boleh terbabit aktiviti sukan merentasi daerah dan negeri, selain dapat mengisi masa lapang dengan perkara berfaedah,” katanya.

Sementara itu, penduduk berdekatan yang mahu dikenali Siti berusia 60-an berkata, suasana sepi menyelubungi pusat tahfiz itu sejak tragedi hitam terbabit berlaku.

“Keadaan amat berbeza sebelum ini dengan kedengaran telatah pelajar tahfiz di kawasan perumahan terutama pada waktu petang, sebelum berlaku tragedi tragis itu.

“Saya berdoa supaya yang terkorban ditempatkan dalam golongan mereka yang solihin dan beriman,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *