Home » Citra Yadim » Tauliah : Mudahkan, jangan payahkan

Tauliah : Mudahkan, jangan payahkan

PUTRAJAYA : Pemberian tauliah kepada mana-mana penceramah termasuk penceramah selebriti perlu dipermudahkan dan jangan dipayahkan agar ia tidak menjadi kekangan dalam gerak kerja dakwah di negara ini.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ustaz Nasrudin Hassan berkata, tauliah dan pengiktirafan itu bagaimanapun tetap merupakan perkara yang penting dalam memastikan usaha dakwah berjalan secara terkawal, terancang dan berkesan.

“Harus ada penyelarasan di antara pihak yang mengeluarkan tauliah sama ada kerajaan atau majlis agama, dengan pihak yang ingin menceburkan diri dalam bidang kuliah, ceramah, dakwah sama ada di masjid surau ataupun alam siber.

“Mestilah saling bekerjasama. Supaya nanti kita dapat pantau, supaya kita dapat mengenal pasti yang manakah (pendakwah) yang benar-benar diiktiraf ataupun yang hanya nanti menyamar. Dunia sekarang dunia fitnah, jadi kita tidak boleh nak lepas 100 peratus begitu sahaja.

“Sebab itu memang suatu perkara yang diperlukan, namun mudahkan. jangan susahkan. Jangan payahkan,’’ kata beliau.

Beliau berkata, pemberian tauliah adalah satu mekanisme yang penting dalam memantau kandungan dakwah agar media sosial tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu.

Menurutnya, adalah dibimbangi media sosial akan disalah guna oleh pihak-pihak tertentu yang  mengaku dirinya sebagai seorang pendakwah terutama di laman sosial yang menggunakan akaun atau nama palsu.

Beliau berkata, dalam soal pemberian tauliah ini, pihak berkuasa perlu mengambil sikap berhati-hati kerana dibimbangi ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk memberi ajaran yang tidak selaras dengan Islam.

“Kena hati-hati. Ya, kadang-kadang pada satu peringkat, pada satu lapisan, ia bercakap tentang Islam, tetapi bila masuk lapis kedua, ia telah memesongkan pemikiran umat Islam itu daripada Islam yang sebenar. Ini kita kena hati-hati,’’ katanya.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *