SANGLANG – Pada 29 Julai lalu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Perlis telah mengadakan program ziarah dan menyantuni keluarga yang terkesan dengan penularan Covid-19 di sekitar kawasan ini.
Dalam program ini, YADIM Perlis diwakili oleh Pengarahnya, Zuhri Husain selain turut disertai oleh ahli pasukan Sukarelawan Al Rahmah (SAR) Arau.
Antara yang diziarahi termasuklah ibu tunggal, warga emas dan pesakit kronik, yang kesemuanya menerima sumbangan makanan keperluan asas. Program ini merupakan kesinambungan daripada satu lagi program pada 25 Julai lalu di kawasan yang sama.
Pada hari tersebut, YADIM Perlis dengan kerjasama SAR Arau dan Persatuan Seni Silat Gayung Kuala Sanglang telah membantu membersih serta mempersiapkan Surau Kampung Tanah di sini untuk kegunaan pada hari raya Aidiladha nanti.
Kawasan luar dan dalam surau telah dibersihkan serta dicat semula oleh para peserta program.
Selesai aktiviti di surau, YADIM Perlis dan peserta program telah menyantuni seramai 40 keluarga asnaf di sekitar perkampungan nelayan di sini menerusi pemberian barangan keperluan asas.
KOMEN