Home » Langit Terbuka » Kursus praperkahwinan di Melaka dilaksanakan semula Isnin ini

Kursus praperkahwinan di Melaka dilaksanakan semula Isnin ini

Pemohon atau bakal pengantin dari negeri lain dan berasal dari Pulau Pinang boleh menggunakan keputusan temuduga khas itu untuk melangsungkan akad nikah di mana-mana tempat di seluruh negara. - Foto Arkib YADIM

MELAKA – Kursus praperkahwinan yang ditangguhkan berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu akan dilaksanakan semula bermula Isnin ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samat, berkata langkah itu susulan persetujuan pihak pengurusan jabatan itu untuk mengubah beberapa kaedah perjalanan kursus terbabit, sejajar dengan kehidupan normal baharu ketika ini.

Katanya, perubahan itu termasuk memendekkan masa kursus kepada enam jam berbanding 12 jam yang dilaksanakan sebelum ini, selain mengetatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) kepada pihak pengurusan serta peserta kursus.

“JAIM juga menetapkan hanya bakal pengantin yang sudah memilih tarikh perkahwinan dalam tempoh tiga bulan dibenarkan mengikuti kursus pra perkahwinan ini bagi memastikan pelaksanaan kursus lebih teratur dan terkawal, selain memudahkan penyusunan jadual kursus yang diuruskan oleh syarikat penganjur.

“Penyusunan semula operasi pengurusan dan pelaksanaan kursus praperkahwinan dilakukan JAIM ini mengambil kira tatacara pencegahan penularan wabak COVID-19 seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya ketika dihubungi, hari ini (30 Mei).

Mengulas lanjut, Md Azhan berkata pada kursus itu juga, pihaknya akan melakukan pengasingan peserta lelaki dan perempuan bagi memudahkan peserta berinteraksi secara langsung dengan penceramah serta menetapkan bilangan peserta 15 hingga 20 orang dalam satu masa.

Katanya, kursus terbabit juga hanya dibenarkan dilaksanakan dalam kawasan Masjid Al-Azim yang juga Masjid Negeri, selain di Pejabat Agama Islam Daerah Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin bagi memudahkan kehadiran peserta mengikut daerah masing-masing.

Yuran juga, katanya, kekal RM95 seorang dan modul yang diguna pakai bagi pelaksanaan kursus adalah mengikut sepenuhnya Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam (MBKPI) Versi 4 yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Pihak penganjur perlu menyediakan ruang solat dan makan yang selesa dan sesuai serta mematuhi semua tatacara pencegahan penularan wabak COVID-19 yang digariskan oleh MKN dan KKM.

“JAIM boleh menentukan apa-apa keperluan yang difikirkan perlu dan sesuai untuk menambah baik SOP ini, selain boleh menarik balik kebenaran penganjuran kursus itu jika didapati ada dalam kalangan penganjur, peserta atau penceramah yang tidak mematuhinya.

“Justeru, diharap peserta dan petugas dapat mematuhi segala SOP yang ditetapkan termasuk diwajibkan memakai pelitup muka serta melakukan penjarakan sosial, imbasan suhu dan disinfeksi oleh petugas,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *