Home » Langit Terbuka » Jangan jadikan tongkat khutbah bahan lawak

Jangan jadikan tongkat khutbah bahan lawak

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata,apa yang dipegang sebagai tongkat sewaktu Solat Sunat Aidilfitri, biarlah melambangkan keseriusan dan bukan menjadi bahan lawak. - Foto Hello Kerja

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini (25 Mei) menasihati umat Islam supaya tidak menjadikan tongkat khutbah sebagai satu bahan lawak, sebagaimana yang tular di media sosial.

Beliau mengulas gelagat segelintir individu yang menggunakan pelbagai barang termasuk kayu golf, tukul ‘Thor’ watak dalam sebuah filem antarabangsa, kayu mop serta pedang ‘gergasi’ mainan ketika membaca khutbah di kediaman masing-masing selepas solat sunat Aidilfitri semalam.

“Mengenai gambar yang tular itu, tiada masalah ke atas solat sunat Aidilfitri dan khutbah yang dibacakan.”

“Khutbah yang disampaikan adalah baik namun kalau boleh, apa yang hendak dipegang sebagai tongkat atau lain-lain, biarlah melambangkan keseriusan dan bukan menjadi bahan lawak. Justeru, carilah tongkat walaupun hukumnya sunat memegang sesuatu ketika berkhutbah,” katanya kepada Bernama hari ini.

Berdasarkan rujukan yang dilakukan di laman web rasmi pejabat mufti Wilayah Persekutuan, sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakam bin Hazan menyatakan selain daripada beberapa syarat yang perlu dipatuhi bagi pembacaan khutbah, para ulama juga menetapkan beberapa perkara sunat lain yang boleh diikuti, antaranya memegang tongkat, pedang, atau busur anak panah.

Sementara itu, bagi pembacaan khutbah pula, disunatkan bagi mereka yang melakukan solat hari raya secara berjemaah di rumah, untuk imam membaca khutbah raya selepas solat hari raya selesai dilakukan manakala ia tidak dituntut bagi yang melaksanakannya secara bersendirian kerana tidak ada faedah padanya.

Sementara itu, Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil menjelaskan pemakaian tongkat hanya sunat dan tidak menjejaskan solat. — Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *