SIK – Memasuki hari kedua Musa’adah Covid-19 di negeri ini, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Kedah, pada 21 April telah menyantuni sebanyak empat kawasan lagi.
Sejumlah 110 pek sumbangan diedarkan hari ini untuk penduduk di daerah ini, para pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di Kuala Ketil, Padang Meiha dan Junjung di Kulim.Mewakili YADIM ialah Pengarah YADIM Kedah, Hafsah Husain.
Program pertama di Sik menyaksikan seramai 30 asnaf yang terjejas pendapatan akibat tidak dapat keluar bekerja kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di santuni badan dakwah ini.
Penghulu Sik, Azmi Dollah, yang turut serta dalam program ini mengucapkan terima kasih kepada YADIM dan badan bukan kerajaan (NGO) atas keprihatinan menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Selepas Sik, program diteruskan pula ke UniSHAMS. Di sini, seramai 20 pek untuk pelajar yang kini menjalani PKP di asrama di santuni YADIM. Program di universiti ini mendapat kerjasama Majlis Perwakilan Mahasiswa yang diwakili oleh Presidennya, Ahmad Syawqi Mahamad Peada@Mohammed dan wakil Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Muhammad Hilmi Che Halim.
Program ketiga kemudiannya diadakan di Padang Meiha, Kulim. Sejumlah 30 pek sumbangan disampaikan kepada golongan B40 dan pesakit kronik di sini. Penghulu Padang Meiha, Nuqman Amran hadir sama.
Lokasi terakhir program ialah di Mukim Junjung apabila 30 buah pek sumbangan disampaikan kepada golongan B40 dan asnaf di sini. Program di Junjung diadakan dengan kerjasama NGO Pertubuhan Kebajikan Ekonomi Masyarakat (PERKEM), Kulim.
YADIM juga mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Sik, RELA Sik, Pejabat Penghulu Mukim Sik, Angkatan Pertahanan Awam Sik dan Pejabat Penghulu Mukim Padang Meiha.
KOMEN