KUALA LUMPUR – Prihatin dengan situasi semasa yang melanda negara, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) tampil menyahut seruan bersama-sama agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggerakkan misi #MusaadahCOVID19 selaras dengan keputusan Mesyuarat Pasca Kabinet Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 18 Mac 2020 di Putrajaya.
Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya,Datuk Dr Mohd Daud Bakar dalam satu kenyataan pada 20 Mac berkata, misi ini adalah bertujuan bagi meringankan bebanan kepada kumpulan sasar yang sedang dikenalpasti di seluruh negara dan akan dilaksanakan oleh agensi-agensi Agama Persekutuan.
Jelasnya, YaPEIM memperuntukkan sejumlah RM1juta dari Tabung Amanah YaPEIM menerusi peruntukan Food Bank YaPEIM 2.0 bagi menjayakan misi Musaadah Covid19 yang bermula 23 Mac 2020 yang akan memberi manfaat sehingga 2,000 keluarga kumpulan sasar yang akan dikenalpasti di seluruh negara.
“YAPEIM menyalurkan sumbangan kepada penerima manfaat berbentuk wang tunai dan sumbangan barangan keperluan asas (dry food) seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan sebagainya,” ujar beliau.
YaPEIM katanya lagi, melalui Pusat Pentadbiran YaPEIM Negeri (PPYN) dan Pasaraya YaPEIM’S Mart akan melaksanakan misi ini secara berperingkat dengan mengenalpasti penerima dan menyelaras kaedah saluran sumbangan selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan.
KOMEN