IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menyarankan semua masjid dan surau di negeri ini agar menjemput penceramah daripada kalangan anak tempatan sekitar daerah atau negeri bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.
JAIPk menerusi satu kenyataan turut menyarankan pihak masjid dan surau supaya menyediakan cecair pembasmi kuman untuk program kuliah serta majlis keagamaan seperti kelas pengajian dan forum-forum yang melibatkan kehadiran lingkungan 50 orang.
“Program kuliah dan majlis keagamaan yang melibatkan kehadiran melebihi 100 orang adalah tidak digalakkan selain mesyuarat juga perlu dilaksanakan dalam masa yang singkat dengan kapasiti keahlian yang kecil,” demikian menurut kenyataan JAIPk yang dimuat naik di laman Facebook jabatan itu
Tambah kenyataan itu, pihak jawatankuasa kariah masjid dan surau juga perlu memastikan peralatan seperti sejadah, telekung, kain pelikat dan tasbih berada dalam keadaan bersih selain kerap melakukan disinfeksi premis untuk mencegah jangkitan.
JAIPk juga menggalakkan jemaah agar mengambil wuduk dari rumah selain memakai penutup hidung dan mulut, manakala ahli qariah yang mempunyai gejala batuk, demam serta sukar bernafas dinasihatkan agar tidak hadir ke masjid atau surau.
“Menyambut saranan daripada Kementerian Kesihatan, JAIPk memohon kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Negeri Perak agar mematuhi panduan yang diberikan untuk membendung penularan jangkitan COVID-19 ini,” menurut kenyataan itu.- Bernama
KOMEN