KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) disarankan supaya menganjurkan kursus kepada para pendakwah tentang tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat, sebagai salah satu usaha menjaga keharmonian negara ini.
Cadangan ini dilontarkan oleh Dr Abd Hakim Mohad dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia dalam sesi ‘Sidang Meja Bulat : Perpaduan Dalam Kepelbagaian’ anjuran bersama badan dakwah ini dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) di sini pada 25 Februari.
Bertujuan mencari titik persefahaman dan persetujuan bersama antara pesertanya, pertemuan ini dihadiri oleh lebih 40 peserta mewakili 26 badan bukan kerajaan dan organisasi di negara ini.
Antara yang menghantar wakil ialah Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia, MBM, Angkatan Belia Islam Malaysia, Majlis Belia India Malaysia, Belia Felda Malaysia, Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta Keuskupan Agung Kuala Lumpur.
Mewakili YADIM ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Mohamad Raimi Abdul Rahim dan Pengarah Bahagian Perhubungan NGO YADIM, Mohd Fitri Azizi Yusof.
Presiden MBM, Jufitri Joha mempengerusikan sidang meja bulat ini.
Dalam pada itu menurut Abd Hakim, kursus ini adalah bagi membimbing penceramah atau tokoh tokoh masyarakat tentang kepentingan menjaga kandungan ceramah mereka agar masyarakat tidak dikelirukan dengan perkara perkara negatif.
“Ia tanggungjawab sosial untuk menjaga negara, yang pada masa yang sama juga menjaga agama.
“Malangnya ia tidak berlaku, malah penceramah yang sebegini (memprovokasi) lebih mendapat sambutan, dijemput dan dipanggil ke merata kawasan, kemudian naratifnya sama diulang,” kata beliau.
Sementara itu, sidang meja bulat ini juga bersetuju supaya YADIM menyediakan modul keharmonian dengan naratif baru lebih segar serta menyediakan pasukan menggerakkan dakwah ke seluruh negara.
KOMEN