Rakan Siswa YADIM (RSY) dan Rakan Remaja YADIM (RRY) adalah merupakan
penjenaaman semula kepada inisiatif Sahabat YADIM yang telah diwujudkan sejak
2013 lagi di 69 buah sekolah menengah dan 76 buah di peringkat IPT yang
melibatkan keanggotaan berjumlah 18,146 ahli di seluruh Malaysia .
Penjenamaan semula ini dilakukan bagi menstrukturkan semula hala tuju dan
aktiviti RSY dan RRY disetiap peringkat agar menepati objektif yang disasarkan.
Sepertimana penubuhan persatuan pelajar yang lain, RSY dan RRY sebenarnya
ditubuhkan bagi menggalakkan budaya aktivisme di kalangan para mahasiswa dan
pelajar dengan menggunakan landasan dakwah yang menjadi teras kepada
penubuhan YADIM sendiri.
Dakwah yang difahami oleh YADIM bukanlah terbatas dalam definisi sempit
‘missionary’ yang cuba dipaksakan oleh kumpulan dan individu rasis.
Sebaliknya dakwah yang dibawa oleh YADIM melalui setiap gerak kerjanya
termasuk melalui inisatif RSY dan RRY adalah merangkumi makna yang lebih luas
dengan erti kata menyeru ke arah kebaikan (Al-Ma’ruf) dan mencegah
kemungkaran (Al-Munkar).
Jiwa pendakwah yang ingin dilahirkan melalui inisiatif RSY dan RRY pada hakikatnya
adalah ingin melahirkan agen-agen masyarakat yang berakhlak mulia dan menyeru
kearah kebenaran, keharmonian, toleransi, keadilan dan segala sifat-sifat mulia
serta menghindari segala bentuk kejahatan sama ada dalam rupa korupsi,
penindasan dan kebencian.
Atas pemahaman dakwah yang luas dan universal itu, maka tidak hairanlah apabila
jawatankuasa RSY diperingkat kebangsaan yang telah diluluskan baru-baru ini turut
dianggotai oleh beberapa pimpinan mahasiswa bukan Islam.
Ini adalah satu mesej yang sangat jelas bahawa agenda yang dibawa melalui inisiatif
ini amat inklusif, telus, rahmah dan tiada sebarang agenda tersembunyi
sementelah ajaran Islam sendiri yang menegaskan tiada sebarang paksaan dalam
soal anutan agama.
Masyarakat khususnya rakan-rakan yang bukan beragama Islam sewajarnya tidak
perlu berasa gundah dengan surat yang dikeluarkan oleh YB Menteri Pendidikan
baru-baru ini.
Tindakan YADIM bertemu dengan Menteri Pendidikan secara rasmi serta surat
daripada beliau kepada ketua-ketua jabatan menandakan bahawa ketelusan
kerajaan pada hari ini dalam melaksanakan sesuatu inisiatif mengikut prosedur
yang sewajarnya dan bukannya seperti pentadbiran sebelum ini yang
melaksanakan keputusan tanpa melalui proses yang telus dan terbuka.
Secara jelasnya surat yang ditularkan tersebut tidak pernah memaksa mana-mana
pelajar sama ada Muslim atau bukan Muslim untuk menyertai inisiatif tersebut.
Kehadiran RSY di IPT dan RRY di sekolah hanya akan menyuburkan lagi semangat
kesukarelawanan, aktvisme dan kekitaan dikalangan mahasiswa dan pelajar.
YADIM komited untuk menggalakkan dialog dan aktiviti silang budaya di kalangan
anak muda melalui pelaksanaan RSY dan RRY ini kerana mereka adalah golongan
penentu kepimpinan negara pada masa akan datang.
Dialog dan aktiviti silang budaya yang terkandung dalam konsep ‘Li Taarafu’ atau
saling mengenali yang amat dianjurkan dalam Islam akan melahirkan generasi
muda Malaysia yang saling menghormati, meraikan perbezaan dan melihat
kepelbagaian sebagai sumber kekuatan dan bukannya punca kelemahan
sepertimana yang ditanggapi oleh golongan yang rasis dan Islamophobik.
Adalah mustahak bagi YADIM memberikan penjelasan agar tidak timbul syak
wasangka dikalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia terhadap
program yang dijalankan oleh YADIM.
Penting penjelasan ini diberikan supaya persepsi Islamophobia yang cuba
dimainkan oleh pihak atau individu yang hanya mahukan publisiti dapat
dijernihkan, sekaligus tidak mengheret badan dakwah ini ke polemik picisan.
Tuan Kamarul Arief Tuan Soh                                         Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
24 Disember 2019
DIKELUARKAN OLEH BAHAGIAN MEDIA DAN TEKNOLOGI DAKWAH YADIM
KOMEN