Home » Citra Yadim » Tabung Wakaf Pendidikan untuk pembangunan pelajar

Tabung Wakaf Pendidikan untuk pembangunan pelajar

PUTRAJAYA – Pihak berkuasa wakaf di negara ini sedang berunding dengan Kementerian Pendidikan berhubung inisiatif penubuhan Tabung Wakaf Pendidikan di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Yang Berhormat Fuziah Salleh berkata, Kementerian Pendidikan sangat teruja dengan usaha tersebut yang berpotensi menyelesaikan pelbagai masalah dana pendidikan di negara ini.

“Kita mahu pergi kepada crowd funding, Kementerian Pendidikan lihat ia boleh bantu selesaikan masalah sekolah kekurangan kemudahan, tambah makmal, bina bangunan baru dan sebagainya,” kata beliau.

Fuziah berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam Wacana Rahmah bertajuk ‘Bajet 2020 dan Pembangunan Islam’ anjuran Nadwah Ulama dan Ilmuwan Malaysia (NUIM) – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini pada 5 Disember.

Hampir 150 orang peserta mewakili pelbagai NGO hadir ke majlis ini. Antaranya ialah dari PENGASIH, IKRAM, Yayasan Amal Malaysia, Rakan Siswa YADIM UiTM, Yayasan Muallaf Malaysia, Yayasan Salam, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia dan sebagainya.

Selain Fuziah, ahli panel yang lain termasuklah Timbalan Menteri Kewangan, Yang Berhormat Dato’ Ir. Amiruddin Hamzah dan Felo Kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Profesor Jamal Othman, manakala Penganalisa Utama LeadUS Think Group, Dr. Wan Hasni Wan Sulaiman merupakan moderator bagi forum ini.

Turut hadir ke sesi wacana ini ialah Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz, Pengerusi NUIM, Datuk Dr Abdul Halim Yusuf dan Pengerusi Majlis Perundingan Wanita Rahmah, Dr Hafidzah Mustakim.

Dalam pada itu Fuziah memberitahu, sehingga RM64 juta sebulan mampu dijana oleh orang Islam negara ini menerusi tabung wakaf jika menyumbang serendah RM1 atau RM2.

Menurutnya, dana tersebut juga boleh digunakan bukan saja untuk pendidikan, tetapi juga kesihatan, pembangunan infrastruktur dan sebagainya.

Katanya lagi, bagi memperkukuh dan memelihara institusi wakaf, pihaknya sedang berusaha membawa rang undang undang wakaf ke Parlimen.

Jelas Fuziah, ia adalah untuk memastikan usaha dan nama wakaf itu sendiri terpelihara.

Terdahulu Abdul Halim dalam ucapan aluannya berkata, pihaknya sedia menawarkan lebih banyak platform seperti wacana ini bagi membincangkan pelbagai isu isu semasa yang boleh membawa manfaat untuk semua.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *